Paling Popular
Terkini
story images
story images

Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azamudden, mendakwa kenyataannya mengenai isu pelantikan mufti di negeri itu dipetik secara salah oleh Berita Harian dan New Straits Times.

Menurut Afnan Hamimi, dia dituduh membuat kenyataan fitnah oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng, dan exco hal ehwal agama negeri itu Datuk Abdul Malik Kassim kononnya berlaku campur tangan kerajaan berkaitan pelantikan mufti Pulau Pinang.

“Sebelum ini Lim dan Abdul Malik Kassim berkata, saya memfitnah dan menyindir saya dengan bertanya tentang hukum terhadap kesalahan fitnah.

“Rupanya kenyataan mereka adalah bersumberkan kepada laporan Berita Harian dan New Straits Times yang tidak tepat, menyebabkan mereka juga membuat kenyataan yang tidak tepat.

“Maka boleh jadi sebab itu Lim meminta Berita Harian dan New Straits Times tarik balik laporan berita mereka,” katanya.

Lim hari ini memberi tempoh 48 jam kepada Berita Harian dan New Straits Times untuk menarik balik laporan mereka serta memohon maaf berhubung laporan berkaitan pelantikan Datuk Seri Hassan Ahmad sebagai mufti negeri itu.

Laporan itu memetik Afnan Hamimi sebagai mendakwa kerajaan negeri campur tangan dalam pelantikan Hassan.

Namun Lim menafikan terbabit dalam hal pelantikan itu dan memberitahu, pihak yang mencadangkan nama untuk jawatan berkenaan ialah Datuk Abdul Malik Kassim selaku exco hal ehwal Islam.

Terima kasih bersihkan nama

Katanya, cadangan nama itu dipersetujui pemimpin PKR yang juga bekas anggota parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Afnan Hamimi bagaimanapun berkata beliau selaku seorang Islam telah pun memaafkan Lim dan Malik berhubung isu itu.

“Saya berbesar hati memaafkan Lim dan Abdul Malik yang tersilap menuduh saya memfitnah walaupun sepatutnya Lim dan Abdul Malik Malik yang mohon maaf kepada saya.

“Terima kasih Lim kerana membersihkan nama saya,” katanya.

Sementara itu, Afnan Hamimi berkata, isu tersebut dibangkitkan supaya campur tangan politik dalam urusan berkaitan fatwa di negeri itu dihentikan.

Malah, jelasnya, Hassan dilaporkan pernah mengakui wujud campur tangan politik berkaitan perkara itu.

Beliau turut memberi dua cadangan supaya kerajaan negeri membatalkan prosedur yang memerlukan semua fatwa dibentangkan kepada mesyuarat exco kerajaan negeri sebelum dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Berikan hak sepenuhnya kepada Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang sebagai badan bebas yang berautoriti dalam hal ehwal hukum mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004,” katanya.

Selain itu beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri melepaskan fatwa-fatwa yang masih 'tersangkut' untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi proses selanjutnya, termasuk diwartakan jika ia belum dibuat.

“Malik juga nyatakan, kerajaan negeri tidak mahu panjangkan polemik mengenai isu campur tangan ini. Maka eloklah disegerakan pelaksanaan dua cadangan penyelesaian seperti di atas,” katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS