Pelarian Aceh mula hidup baru pada Hari Pelarian Sedunia
Terjemahan Hari Pelarian Sedunia tahun ini (20 Jun) merupakan hari paling istimewa bagi Muhammad Nurul Al-Khalil. Malam tadi, pelarian Aceh berusia 29 tahun ini, menaiki pesawat untuk berlepas ke negara penempatan barunya Amerika Syarikat.
Terjemahan Hari Pelarian Sedunia tahun ini (20 Jun) merupakan hari paling istimewa bagi Muhammad Nurul Al-Khalil. Malam tadi, pelarian Aceh berusia 29 tahun ini, menaiki pesawat untuk berlepas ke negara penempatan barunya Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, pengalaman yang terpaksa dilaluinya sebelum ini tidak akan lekang dari ingatannya. Sepanjang tempoh tiga bulan lalu, dia ditahan di pusat tahanan imigresen kerana disyaki pendatang haram, walaupun dia memiliki dokumen pengenalan daripada Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).
Muhammad Nurul ditahan di Selayang pada 17 Mac lalu, sewaktu pihak berkuasa melancarkan gerakan memburu pelarian tanpa izin selepas tamatnya tempoh pengampunan.
Dia ditahan sewaktu mendapatkan maklumat daripada seorang pegawai imigresen mengenai status rakannya yang kini telah ditahan.
"Saya hanya cuba mendapatkan nombor pendaftaran UNHCR rakan saya itu dan mahu memaklumkan kepada pegawai berkenaan bahawa dia adalah seorang pelarian. Pegawai itu naik angin dan saya pun turut ditahan," katanya ketika ditemui semalam.
Dia juga mendakwa, pegawai yang berang itu juga berkata, bahawa kehadiran UNHCR di negara ini juga tidak bermakna kerana ia tidak dapat berbuat apa-apa.
Layanan buruk
Kisah hidup Muhammad Nurul ini telah memberi cahaya harapan kepada lebih 50,000 pelarian yang mencari suaka di negara ini.
Majoriti mereka telah dipenjarakan manakala yang lainnya tinggal dalam persembunyian di pinggir Kuala Lumpur, sementara menunggu siap proses penempatan semula mereka di negara ketiga.
Muhammad Nurul yang lari dari Aceh pada bulan Ogos 2003 selepas namanya termasuk dalam 'senarai dikehendaki' tentera Indonesia kerana menganjurkan demonstrasi pro-demokrasi mendakwa, beliau diberi layanan tidak berperikemanusiaan ketika berada dalam tahanan.
Menurutnya, dia telah mencatatkan pengalamannya dalam diari. Muhammad Nurul yang dibebaskan pada 17 Jun lalu, merancang untuk menyebarkan perkara tersebut bagi mendedahkan perbuatan melanggar hak asasi manusia di negara ini.
"Pada mulanya saya ditahan selama 23 hari di lokap Pusat Imigresen Damansara dua minggu dalam bilik tahan seluas 4 x 6m yang ada masanya sesak dengan lebih 60 tahanan yang lain, dan sembilan hari lagi dalam bilik tahanan di bawah tangga bergerak di pejabat tersebut," katanya.
Dia kemudiannya dipindahkan ke pusat tahanan Semenyih di mana dia ditempatkan lebih dua bulan dalam bilik tahanan yang lebih luas 20 x 30m bersama lebih 400 penghuni lain.
Muhammad Nurul mendakwa, dia sering demam, kurang makan dan kurang mendapat rawatan kesihatan.
Katanya, terdapat ramai lagi penghuni yang sakit dan mengalami penganiayaan hak asasi yang lebih teruk lagi daripadanya. Dia juga mendakwa ternampak seorang tahanan bangsa Nepal yang meninggal dunia kerana sakit teruk ketika berada dalam tahanan.
Tidak diiktiraf
Majoriti pelarian seperti Muhammad Nurul, memiliki dokumen perlindungan daripada UNHCR yang mengiktiraf mereka sebagai pelarian akibat pelanggaran hak asasi manusia di negara asal mereka.
Bagaimanapun, Malaysia tidak mengiktirafnya kerana negara ini tidak menandatangani Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Status Pelarian 1951.
Malah, bagi Muhammad Nurul sendiri, penempatannya di Amerika itu yang diusahakan oleh UNHCR sebaik sahaja dia ditahan, terpaksa dilakukan dengan berhati-hati kerana ada kemungkinan dia ditahan semula.
Pihak UNHCR menempatkannya dalam perlindungan badan tersebut dan menguruskan dokumen perjalanannya ketika membawanya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam tadi.
Mengenai negara barunya itu, Muhammad Nurul berkata beliau akan belajar Bahasa Inggeris dan Sains Politik di Amerika di samping mempelajari amalan demokrasi di sana sebelum pulang semula suatu hari nanti.
\

