Dua ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara oleh dua mahkamah berasingan, masing-masing atas tuduhan memiliki dadah dan rasuah.

Bernama melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuantan menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun ke atas S Junaidah Jaffar Shah, 37 selepas mengaku bersalah atas tuduhan pilihan memiliki dadah berbahaya seberat 79.88 gram pada 2015.

Pesuruhjaya Kehakiman Hassan Abdul Ghani menjatuhkan hukuman itu dan memerintahkan ibu kepada empat anak berumur tiga hingga 17 tahun itu menjalani hukuman penjara tersebut bermula tarikh dia ditangkap pada 5 November 2015.

Mengikut fakta kes, S Junaidah dituduh memiliki dadah berbahaya seberat 79.88 gram iaitu masing-masing 42.98 gram heroin dan 36.90 gram monoacetylmorphines di rumah beralamat NC U 18 RPS Bukit Serok, Bandar 22 Pahang Tenggara, Kota Bahagia, Rompin pada 8.30 malam 5 November 2015.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu bersama seorang anak lelakinya yang ketika itu berusia 16 tahun serta dua rakannya yang merupakan pasangan adik-beradik Sulsilah a/p Awang Manis, 21, dan Rizan, 32.

Bagaimanapun anak lelaki S Junaidah dan dua rakannya tidak mengaku salah dan minta dibicarakan namun Hassan membuat keputusan melepaskan tanpa membebaskan ketiga-tiga mereka berikutan ibu tunggal itu telah mengaku salah memiliki dadah berkenaan.

Sementara itu di mahkamah berasingan, seorang pembantu kedai dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan meminta suapan RM20,000, minggu lepas.

Hakim Mohd Nasir Nordin ketika menjatuhkan hukuman itu terhadap Nooraszlina Ismail, 35, turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Nooraszlina didakwa meminta suapan wang tunai RM20,000 daripada Mohd Rafi Md Hasin sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes Anuar Abdullah yang dikatakan mempunyai kes berkaitan rasuah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Batu 18 1/2 Kampung Lendu Dalam, Alor Gajah, Melaka, pada pukul 8.15 malam, 3 Februari 2017.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali nilai suapan.