Kepulangan perogol bersiri yang disabitkan, Selva Kumar Subbiah, telah mengundang pelbagai reaksi - banyak daripadanya adalah negatif.

Disebabkan bimbang akan keselamatan wanita, ada yang menggesa supaya dia dipenjarakan manakala sesetengahnya menggesa dipercepatkan pewujudan pendaftaran pesalah seks.

Malah, ada yang mencadangkan agar langkah-langkah pencegahan dikenakan ke atas Selva Kumar, 56, seperti ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) yang biasanya digunakan untuk menangani masalah gangster.

Peguam Syahredzan Johan, bagaimanapun, tidak bersetuju.

"Dia tidak boleh ditahan di bawah Poca. Poca membenarkan penahanan tanpa bicara dan sebagai satu perkara prinsip, kita tidak boleh menyokong sebarang bentuk penahanan tanpa bicara, "katanya kepada Malaysiakini.

Pakar perundangan perlembagaan itu menambah bahawa tidak ada asas undang-undang untuk menghukum Selva Kumar kerana dia tidak didakwa atau disabitkan atas apa-apa jenayah di Malaysia.

Walau bagaimanapun, Syahredzan menegaskan bahawa perogol bersiri yang disabitkan itu, hendaklah dipantau oleh pihak polis.

"Tetapi dia tidak boleh dihukum tanpa apa-apa sabitan di Malaysia," katanya.

Syahredzan berkata terdapat keperluan untuk melihat cara yang menyeluruh untuk menangani pesalah seks.

"Pendaftaran pesalah seks adalah satu langkah yang baik tetapi ia mesti dibuat dengan satu bentuk pengawasan atau pemantauan yang berkesan untuk memastikan bahawa banduan itu tidak kembali kepada cara lamanya.

"Ia adalah satu perkara untuk mewujudkan keseimbangan antara hak-hak individu yang disabitkan, dengan hak-hak masyarakat."

Peguam New Sin Yew yang juga tidak bersetuju Selva Kumar ditahan di bawah Poca, berkata: "Dia adalah seorang yang bebas selepas menjalani hukumannya. Mahkamah Kanada telah menjatuhkan hukuman bagi kesalahan jenayahnya.

"Melainkan jika boleh ditunjukkan bahawa dia cuba atau mempunyai niat untuk melakukan sesuatu kesalahan, maka tidak ada sebab untuk menangkap atau menahannya."

New berpandangan bahawa Selva Kumar tidak harus dilayan berbeza daripada banduan lain.

Memandangkan Selva Kumar juga telah bersetuju untuk diletakkan di bawah pengawasan polis, New berkata, ia terletak di bahu pihak berkuasa itu untuk mengambil langkah-langkah yang sesuai jika dia didapati cuba melakukan jenayah.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Persatuan Peguam Wanita (AWL), Meera Samanther berpandangan bahawa apa yang lebih penting ialah keperluan untuk mewujudkan pendaftaran pesalah seks yang akan membolehkan pihak berkuasa untuk mengesan dan memantau pesalah seks yang mempunyai rekod jenayah.

[Baca berita penuh]