Amnesty International menggesa "pembebasan segera dan tanpa syarat" bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ulang tahun kedua pemenjaraan beliau.

"Penganiayaan politik berterusan terhadap Anwar Ibrahim adalah simbolik kepada tindakan keras Malaysia terhadap hak asasi manusia.

"Beliau telah secara tidak adil menghabiskan dua tahun yang lalu di penjara atas tuduhan yang direka-reka bertujuan untuk menutup mulut beliau dan menamatkan kerjaya politik beliau," dakwa Josef Benedict, Timbalan Pengarah Amnesty International bagi Asia Tenggara dan Pasifik dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 10 Februari 2015, Anwar gagal di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan mahkamah rayuan yang menterbalikkan keputusan pembebasan beliau daripada tuduhan liwat dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun.

Anwar pada mulanya dibebaskan pada 9 Januari 2012 selepas Mahkamah Tinggi mendapati keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Ketua Umum PKR itu kekal menyatakan pertuduhan itu bermotifkan politik.

"Pada pilihan raya lepas, BN kehilangan undi popular tetapi berjaya berpaut kepada kuasa," kata Benedict.

"Penjara lima tahun Anwar Ibrahim menjadikannya mustahil bagi beliau untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, kerana berlaku pada 2018.

"Sabitan Anwar Ibrahim adalah satu tamparan hebat kepada hak asasi manusia apabila kerajaan Malaysia meningkat serangan ke atas masyarakat awam," katanya.

Tewaskan BN

Sementara itu, Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan media berkata Malaysia memerlukan seorang pemimpin berjiwa rakyat, bijak dan adil bagi menyelesaikan kemelut negara di bawah pimpinan Najib Razak.

Katanya, peluang terbaik untuk Anwar dibebaskan adalah dengan memastikan Umno BN tewas dalam pilihan raya umum nanti.

"Walaupun beliau ditahan di sebalik tirai besi, namun semangatnya tidak pernah padam, kata-katanya masih penuh bermakna, dan pemikirannya terus relevan sehingga kini.

"Tidak syak lagi beliau adalah calon perdana menteri terbaik sekiranya Pakatan Harapan menang, dan satu-satunya cara untuk memastikan pembebasan beliau adalah dengan menewaskan Najib Razak dan kerajaan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang," katanya.