12 maut dalam kejadian tanah runtuh di Bali
Dua lagi kejadian tanah runtuh berlaku di dua buah kampung di daerah Bangli, Bali pada Jumaat menyebabkan jumlah korban menjadi 12 orang dengan lima lagi cedera, lapor agensi berita China Xinhua kata seorang pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara.
Kejadian berlaku di Awan dan Sukawan menyebabkan lima maut, kata jurucakap agensi itu Sutopo Purwo Nugroho kepada Xinhua menerusi talian telefon.
Beberapa jam sebelum itu, Sutopo berkata tujuh terkorban dan empat cedera di Kampung Songan dalam kejadian pukul 11 pagi waktu tempatan, Khamis.
Kesemua mayat mangsa telah ditemukan dan mereka yang cedera dihantar ke hospital berdekatan, katanya.
Operasi mencari dan menyelamat membabitkan anggota tentera, polis dan anggota penyelamat dari agensi pengurusan bencana tempatan serta pegawai Bulan Sabit Merah.
Sutopo turut memberi amaran kepada penduduk di daerah Jembrana, Buleleng, Badung, Tabanan dan Gianyar kejadian tanah runtuh, banjir dan puting beliung mungkin berlaku lagi ekoran hujan lebat diramalkan pada hari Sabtu.
- Bernama

