Sejak mengumumkan keputusan menyertai DAP awal minggu ini, bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim berkata, banyak perkara yang tidak baik disebut mengenai beliau.

"BN dan 'askar' siber mereka, terutamanya, telah banyak bercakap mengenai perkara-perkara yang akan buatkan anda menangis.

"Saya tidak akan beri respons kepada mereka lagi. Hari ini, saya harap untuk memberi tumpuan kepada rakan-rakan dan penyokong saya yang mengambil berat tentang penglibatan baru saya dalam parti politik.

"Mereka ikhlas mengambil berat, yang mana saya perlu melayaninya," kata Zaid dalam catatan di blognya.

Bercakap mengenai kebimbangan sama ada beliau merupakan seorang yang mampu bekerjasama dalam satu pasukan, bekas anggota parlimen Kota Bharu itu menegaskan, beliau tidak mungkin berada dalam Umno selama lebih dua dekad jika tidak mempunyai sifat sedemikian.

"Saya juga berada di firma undang-undang selama 24 tahun yang mana saya tubuhkannya dari awal. Saya pasti saya bukan primadona, orang yang mengenali saya boleh membuktikannya.

"Saya datang dari latar belakang yang sederhana dan bukan cara saya untuk 'menjadi merak yang mengembangkan bulunya," katanya lagi.

Bagi mereka yang menggambarkan Zaid sebagai seorang yang gila kuasa, beliau berkata keputusannya untuk melepaskan jawatan menteri adalah jawapan kepada dakwaan berkenaan.

"Kemudian ada yang menggelar saya sebagai 'kuda liar', gelaran yang muncul ketika saya menjadi menteri yang bertanggungjawab untuk melaksanakan pembaharuan undang-undang.

"Kebenarannya ialah, saya cuma ada satu peluang kecil untuk menjalankan tanggungjawab saya. Saya tahu (bekas perdana menteri) Tun Abdullah Badawi didesak letak jawatan, jadi saya cuba untuk lakukan sebanyak mana perkara yang boleh sebelum perkara itu berlaku.

"Ini termasuk mendesak supaya pampasan bagi hakim-hakim yang telah dipecat pada 1988. Saya juga merupakan sebahagian daripada pasukan yang memulakan rangka kerja bagi penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," katanya.

'Kita satu kesilapan' 

Sementara itu dalam temubual bersama laman web kewangan, iMoney minggu ini, Zaid mengakui pembentukan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) adalah satu kesilapan bagi dirinya.

Dalam temubual itu, Zaid telah diminta untuk menerangkan keputusannya menubuhkan parti KITA selepas berundur daripada PKR.

"Bukan satu perkara yang bijak. Ia satu-satunya kesilapan saya.

"KITA terlalu mahal, terlalu sukar untuk bergerak.

"Saya agak naif, saya berharap bahawa ada rakan-rakan, rakan-rakan yang kaya di dalam parti tetapi ia tidak berjaya," kata Zaid.

Selepas Umno, Zaid menyertai PKR tetapi bertelagah dengan parti itu tidak lama selepas pilihan raya kecil Hulu Selangor, di mana peguam veteran itu tewas kepada BN.

Selepas Kita berkubur, Zaid mengumumkan beliau akan bertanding dalam pilihan raya kecil Kajang 2014 sebagai calon bebas menentang bekas Ketua Umum PKR Datuk Anwar Ibrahim, tetapi menarik diri sebelum hari penamaan calon.

Bekas Menteri itu berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya mungkin akan bertanding pilihan raya ini. Saya telah mendapat tawaran untuk bertanding, tetapi saya akan buat keputusan mengenai itu, dan jika saya boleh menang dan memberi sumbangan (kemenangan), mengapa tidak?" Zaid memberitahu iMoney.

Bagaimanapun, Zaid yang juga seorang peguam berjaya berkata, ia bukan kerja mudah.

"Ya, ia bukan satu keputusan yang mudah (menyertai politik), tetapi negara tidak bergerak ke arah yang betul dan saya sentiasa menjadi sangat kritikal dengan cara kita bergerak sejak bertahun-tahun lamanya.

"Saya rasa tidak ada perpaduan yang cukup, walaupun di pihak pembangkang, untuk menyatakan dengan jelas cara kita harus bergerak, jadi saya fikir saya perlu campur tangan," katanya.

[Baca cerita asal]