Penulis ucapan, Munawar Aness, mengalami trauma apabila dia ditangkap, diseksa dan dipaksa membuat pengakuan pada 1998, kata seorang peguam kanan hari ini.
Memberi keteragan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Manjeet Singh Dhillon berkata, dia merakam kenyataan Munawar selepas melawatnya di penjara kira-kira lapan kali.
Manjeet, 74, memberi keterangan sebagai saksi Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman fitnahnya terhadap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin abu Bakar.
Kata bekas presiden Majlis Peguam itu, kenyataan berkenaan menjadi sebahagian daripada akuan berkanun ditandatangani Munawar pada 1998.
"Munawar adalah anak guam saya dan dia mahu traumanya direkodkan. Kisahnya bermula dari detik dia ditahan pada 14 September 1998 dan berterusan dengan mendalam serta terperinci mengenai apa yang dilakukan ke atasnya siang dan malam ketika disoal siasat polis, sehingga ke detik dia dibawa ke mahkamah dan dipaksa mengaku salah.
"Saya catitkan semua apa yang dikatakannya. Ingatannya terhadap peristiwa itu adalah jelas, menyeluruh dan tepat. Di mana perlu, dia menamakan orang yang terlibat dan menunjukkan aksi yang dipaksakan ke atasnya.
"Dia mahu dedahkan di mahkamah seksaannya dan penghinaan dilakukan penyiasat ke atasnya," kata Manjeet, sambil menambah sehingga kini Munawar masih mengalami kesan ketakutan dan penderitaan mental akibat penahanannya.
Dalam kenyataan saksi diserahkan di mahkamah, kata Manjeet, Munawar yang berkhidmat sebagai penulis ucapan untuk Anwar, menceritakan bagaimana dia dicukur botak, didedahkan identitinya dan dimalukan secara sistematik, disoal siasat, diseret dan diseksa supaya membuat pengakual palsu.
"Munawar memperincikan setiap langkah dilakukan anggota cawangan khas dan pegawai polis, malah mengenal pasti pegawai yang terlibat," katanya.
Munawar didakwa - dan mengaku salah - mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan melakukan perbuatan kelucahan melampau dengan lelaki.
Dia dihukum penjara selama enam bulan atas pengakuan bersalahnya.
Munawar ingin merayu atas sabitan dan hukuman itu lalu membuat pengakuan berkanun yang diserahkan ke mahkamah hari ini. Ia bagaimanapun ditandakan sebagai pengenalan ekoran bantahan dibuat peguam Khairy, Datuk Muhammad Shafee Abdullah.
Anwar diwakili peguam Sivarasa Rasiah, J Leela dan Shahid Adli Kamarudin.
