Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Saya anggap dia berbohong'
Diterbitkan:  Feb 10, 2017 10:34 PM
Dikemaskini: 3:01 PM

Beberapa jam selepas Datuk Seri Azmin Ali membuat dakwaan ada menteri kanan meletak jawatan, perdana menteri tampil memberi penjelasan.

Menyatakan secara ringkas di Twitter, Datuk Seri Najib Razak berkata, tiada mana-mana menteri memaklumkan beliau ingin meletak jawatan.

"Saya akan menganggap Azmin sekadar berbohong untuk membuat kecoh, melainkan jika dia boleh mendedahkan nama (menteri telibat)," katanya.

Petang tadi Azmin yang juga menteri besar Selangor mencetuskan rasa ingin tahu orang ramai apabila menulis di Twitter mendakwa ada seorang menteri kanan meletak jawatan.

 

 

Peletakan jawatan itu, kata Azmin, disebabkan menteri terbabit "tidak mahu bersubahat" dengan 1MDB - merujuk kepada syarikat pelaburan milik penuh kerajaan yang dikaitkan dengan pelbagai skandal.

Bagaimanapun melalui status Twitter itu Azmin tidak menyatakan secara jelas menteri berkenaan, sebaliknya sekadar melontarkan pertanyaan.

"Benarkah ada seorang menteri kanan telah meletakkan jawatan? Khabarnya beliau tidak mahu bersubahat dengan 1MDB. Cuba ikuti perkembangan," kata Azmin di Twitternya petang tadi dan membiarkan tanda tanya itu tergantung begitu saja.

Cubaan Malaysiakini mendapatkan maklumat lanjut daripada beberapa pihak - termasuk menteri dan bekas menteri - mendakwa mereka tidak tahu menahu mengenainya.

Mereka juga mengaku tidak mendengar sebarang khabar berkaitan isu berkenaan.

Kebanyakan mereka menolak untuk dipetik, tetapi Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Gani membenarkan reaksinya dipetik.

"Saya tak tahu mengenainya. Saya baru tahu," katanya.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz juga mengaku tidak ada maklumat mengenai peletakan didakwa Azmin itu.

"Tetapi yang pasti ia bukan saya," katanya.

Nazri turut mendakwa kenyataan Azmin itu hanyalah helah timbalan presiden PKR berkenaan.

"Saya rasa apabila Datuk Zaid Ibrahim menyertai DAP, ia menyebabkan berlaku perpecahan besar di kalangan pembangkang.

"Jadi sekarang mereka cuba mencipta sesuatu untuk mengalihkan perhatian," katanya.

Kenyataan Azmin yang juga timbalan presiden PKR itu turut mendorong orang ramai membuat ramalan mengenai identiti "menteri kanan" dimaksudkan Azmin, terutama ahli politik yang dilihat tidak - atau jarang - membuat sebarang kenyataan sejak akhir-akhir ini.

Exco Pulau Pinang yang diketahui rapat dengan Azmin, Dr Afif Bahardin, turut melontarkan pertanyaan berkenaan dan mengaitkannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Seorang menteri kabinet letak jawatan tadi. Katanya kerana tidak sanggup lagi pertahan skandal 1MDB untuk @NajibRazak. Siapa?" katanya.

Apabila ditanya soalan berkenaan, Dr Afif sekadar menjawab: "Tunggulah."

Lihat Komen
ADS