Hubungan Mahathir, Anwar benci tapi rindu
Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyifatkan pertemuan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir semalam adalah kelangsungan hubungan cinta tapi benci mereka selama ini.
Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata apa yang dilihat semalam adalah episod kedua hubungan kedua-dua tokoh terbabit.
Namun, berdasarkan sejarah silam, Nazri menjangkakan episod ketiga nanti, kedua-dua pemimpin hebat itu akan bergaduh pula.
"Mahathir dengan Anwar ini macam inilah, mereka ini sebenarnya love hate relationship (hubungan cinta tapi benci).
"Ada masa mereka benci, ada masa mereka (saling) cinta. Macam sekarang ini tengah love-lah, dulu pun masa Mahathir jadi perdana menteri, Anwar timbalan perdana menteri - love.
"Sebelum itu semasa Anwar jadi pemimpin pelajar - hate. Lepas tu, love. Kemudian hate balik. Itu biasalah," katanya pada sidang media selepas melancarkan majlis pelancaran Indera Gajah Pahang di Kuala Lumpur hari ini.
Menganggap perkembangan terbaru kini sebagai episod kedua hubungan "cinta benci" antara Dr Mahathir dan Anwar, Nazri menjangkakan kedua-dua pemimpin itu akan bergaduh pula pada episod ketiga nanti.
"Lepas itu saya tak tahulah," katanya.
Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan terbaru antara Dr Mahathir dengan ketua umum PKR itu semalam.
Dr Mahathir hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada kira-kira jam 11.45 pagi dan duduk di samping Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.
Anwar berada di mahkamah untuk menghadiri perbicaraan samannya terhadap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Pertemuan tersebut berlangsung semasa mahkamah berhenti rehat.
Dalam pertemuan selama 45 minit itu kedua-dua mereka bersetuju mengenai keadaan politik semasa negara dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus berundur.
Ini adalah pertemuan kali kedua membabitkan kedua-dua tokoh berkenaan sejak Anwar dipecat oleh Dr Mahathir pada 1998.
Dia ular besar
Sementara itu mengulas dakwaan di media sosial berhubung hubungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya Datuk Seri Zahid Hamidi kini tegang, Nazri berkata ia hanyalah harapan Pakatan Harapan.
Malah, ketika diminta mengulas lanjut Nazri berkata biarlah pakatan pembangkang itu terus bermimipi dan berharap selama-lamanya bahawa dakwaan tersebut akan berlaku.
"Itu harapan Pakatan Harapan, itu harapan mereka, jadi apa yang saya boleh katakan adalah, teruskanlah bermimipi dan mengharap buat selama-lamanya.
"(Hubungan PM dengan TPM) Baik, kita tak macam dia orang dalam parti pembangkang pun gaduh. PAS dengan AMANAH gaduh dan entah apa lagilah, tak tahulah saya," kata Nazri.
Sementara itu Nazri juga mendakwa Dr Mahathir - dan bukan Umno - sebagai pengkhianat sebenar di negara ini.
Alasan anggota parlimen Padang Rengas itu, Umno tidak pernah berubah malah terus konsisten dalam memperjuangkan nasib Melayu dan Islam.
"Pengkhianat itu adalah Mahathir bukan kami (Umno).
"Kami dalam BN dan platfom kami Barisan Nasional. Dia (Mahathir) penderhaka, pengkhianat, dia ular. Berapa kali dia buat pusingan U?
"Dia ular besar. Masa berhenti dulu kata lain sekarang lain tetapi kita konsisten.
"Macam mana dulu dia jadi perdana menteri dia cakap tentang Malaysia dan orang Melayu, dan kita masih kekal dengan perkara yang sama, yang berubah dia. Jadi, dialah pengkhianat," kata Nazri.
Isnin lalu Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri berkata kemajuan yang dilaksanakan Umno dan BN menerusi pimpinannya yang silih berganti memangtidak boleh dinafikan.
Berucap di Sungai Lembing, Pahang, Muhyiddin berkata Malaysia bermula daripada sebuah negara tidak mempunyai apa-apa selepas merdeka.
Muhyiddin turut mengakui agak janggal bagi orang mendengar beliau berkata demikian kerana kedengaran seolah-olah beliau masih "berada dalam kerajaan".
Mengulas kenyataan itu, Dr Mahathir berkata apabila Muhyiddin mengaku Umno dan BN membangun dan memaju Malaysia, maka pembodek Najib bergembira dengan pengakuan berkenaan.
"Malaysia dahulu dikenali sebagai Asian Tiger. Tetapi sekarang Malaysia dikenali seluruh dunia sebagai negara rasuah yang tertinggi.
"Juga ia didakwa diperintah oleh seorang kleptokrat, iaitu pemerintahan penyamun dan penyangak yang mencuri duit rakyat," kata penasihat BERSATU itu di blognya.

