Majlis pelancaran buku Dr Syed Husin Ali di Subang Jaya petang tadi bertukar menjadi pilu seketika apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, memaklumkan keadaan ibunya kini kritikal.
Ketika berucap untuk majlis pelancaran buku terbaru karangan bekas timbalan presiden PKR itu, Azmin menjadi sebak apabila menceritakan apa yang berlaku ketika beliau dalam perjalanan ke majlis berkenaan.
Malah kata Azmin, beliau sempat menghubungi Syed Husin dan memaklumkan mungkin tidak dapat singgah dan menyertai program berkenaan.
"Saya baru saja menerima panggilan telefon daripada doktor yang melaporkan ibu saya dalam keadaan kritikal dan sukar untuk mereka menyelamatkan," katanya dengan suara yang perlahan dan jelas sebak.
Jelas menteri besar Selangor itu, doktor memberitahu tekanan darah ibunya, Che Tom Yahaya, akan menurun perlahan-lahan dan beliau sekadar dapat mendoakan agar Allah mempermudahkan segala urusan berkaitan.
Azmin juga menegaskan, beliau tetap hadir ke majlis pelancaran buku Sejarah dan Dasar Perjuangan Parti hasil Syed Husin kerana menganggap ia sangat penting bagi menghayati apa yang diperjuangkan oleh ahli politik veteran itu.
Sementara itu ditemui media kemudian, Azmin menjelaskan ibunya diserang angin ahmar pada empat bulan lalu dan dirawat di hospital.
Keadaannya semakin baik dan hampir dibawa keluar dari unit rawatan rapi ke wad biasa.
"Tetapi pada hari ini kira-kira jam 12 tengah hari tadi berlaku serangan strok kedua, kali ini lebih serius.
"Doktor bertemu dengan saya dan menyatakan keadaan ibu saya kritikal dan meminta supaya kita sama-sama berdoa," katanya.
