DAP cabar Ku Nan bertanding di Cheras
Ahli Parlimen Cheras dari DAP, Tan Kok Wai mencabar Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bertanding di kerusi Parlimennya pada pilihan raya umum akan datang.
"Oleh kerana Tengku Adnan begitu yakin para pengundi Cheras akan jatuhkan saya, bagaimana jika tinggalkan Putrajaya yang hanya mempunyai 15,791 pengundi dan bertanding di Cheras berdepan saya, lihat siapa lebih popular di sini," kata Tan semasa majlis di Pudu hari ini.
Tambah Tan, beliau telah menjadi ahli parlimen selama tujuh penggal dengan majoriti kemenangannya meningkat dalam setiap pilihan raya.
Tan berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Tengku Adnan yang popular dengan panggilan Ku Nan semalam yang menggesa pengundi di Cheras supaya mengembalikan kerusi Parlimen tersebut kepada Barisan Nasional.
Berucap kepada kira-kira 3,000 tetamu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Ulu, Ku Nan berkata, pengundi mesti bersedia untuk membuat "kejutan" terhadap Tan dalam pilihan raya umum ke-14.
Ia sebagai menyatakan bahawa mereka tidak lagi memerlukan Tan dan roket di situ, kata Tengku Adnan dalam pembukaan ucapannya.
Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Loga Bala Mohan, Ketua Umno Cheras, Datuk Syed Ali Al-Habshee, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional Cheras.

