Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS fokus laporan polis pada Husam, saman kemudian

PAS menyatakan pihaknya kini dalam usaha membuat laporan polis di seluruh negara terhadap ADUN Salor, Datuk Husam Musa berkaitan dakwaan bahawa parti Islam itu menerima dana berjumlah RM90 juta daripada Umno.

Parti itu memfokuskan laporan polis terlebih dahulu berbanding saman yang pernah dinyatakan sebelum ini setelah mendapat pandangan dari pihak peguam, kata Ketua Pemuda PAS Wilayah Khairil Nizam Khirudin.

“Saman tidak diteruskan, kita di peringkat pemuda perlu polis jalankan siasatan terhadap dakwaan beliau (Husam).

“Saya rasa kita sedang melihat guaman sama ada boleh saman atau tidak bergantung kepada undang-undang. Kita tengok dulu bacaan peguam PAS dan mengikut pandangan mereka lebih baik kita lakukan laporan polis (terlebih dahulu),” kata Khairil.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap Husam di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Sebelum ini, Husam dalam ceramahnya di pentas Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa, beliau mempunyai butiran berkaitan dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS.

Kata Husam, dana berkenaan disalurkan ke akaun di Affin Bank.

Beliau yang dipecat daripada PAS pada Mei tahun lalu atas dakwaan melanggar disiplin membayangkan butiran mengenai dana itu akan muncul menjelang pilihan raya umum akan datang.

Minggu lalu, Tuan Ibrahim berkata PAS menganggap kenyataan Husam mengenai dana itu adalah rantaian daripada fitnah dibuat laman web Sarawak Report sebelum ini.

Sementara itu Khairil yang juga Naib Pemuda PAS pusat berkata pihaknya menggesa polis menyiasat Husam mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah.

“Kami pemuda PAS Wilayah tegaskan dari pandangan kami, tak ada sumbangan RM90 juta kepada pimpinan kami.

“Kami minta Datuk Husam jangan bertindak bacul atau joker dengan tidak berani menyatakan nama orang yang sepatutnya dinyatakan,” katanya menambah PAS akan membuat laporan polis di seluruh negara bermula di Kelantan.

PAS label Husam pondan

Sementara itu dalam laporan Utusan Malaysia hari ini, Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari melabelkan Husam sebagai ‘pondan’ kerana takut mendedahkan individu berkenaan.

“Jika di pihak yang benar, Husam tidak perlu takut sebaliknya perlu berani tampil mengemukakan bukti berhubung tuduhan tersebut.

“Sebagai pemegang jawatan dalam PAS, saya menegaskan tuduhan tersebut tidak benar dan bertujuan untuk merosakkan nama baik parti ini,” katanya dipetik akhbar itu ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.

Pada ceramahnya, Husam mendakwa dana bernilai RM90 juta disalurkan melalui akaun di Affin Bank kepada PAS, namun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

Rakaman singkat video ucapan Husam itu tersebar di media sosial dan dimuat naik di YouTube.

Husam membayangkan untuk mendedahkan lebih banyak butiran mengenai isu berkenaan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Isu RM90 juta mula dibangkitkan oleh portal Sarawak Report pada Ogos tahun lalu. Berikutan dakwaan itu PAS menyatakan mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap laman web berkenaan.

Sementara itu, portal Harakahdaily memetik Ahmad Fadhli berkata laporan polis dibuat berikutan tuduhan Penasihat Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan yang tidak berasas terhadap PAS.

Lihat Komen
ADS