Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M akui imej DAP buruk turut berpunca darinya
Diterbitkan:  Feb 14, 2017 3:59 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Bekas perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui imej DAP menjadi buruk terutama di kalangan orang Melayu berpunca daripada beliau sendiri.

"Masih ada mereka yang amat takut kerana dimomokkan oleh Datuk Seri Najib. Amat takut untuk undinya (DAP).

"Kalau DAP menang, Kit Siang jadi PM. Maka takutlah orang Melayu dengan DAP ini.

"Sedikit sebanyak imej DAP yang buruk ini disebabkan oleh saya sendiri," katanya dalam video yang dimuat naik di laman Facebook Mukhriz Mahathir FC.

Video itu adalah sesi dialog antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan DAP yang diadakan di Alor Setar Sabtu lalu.

"Saya gambarkan DAP ini sebagai parti yang jahat, yang nak kuasai Malaysia. Yang tidak ambil hirau tentang nasib orang Melayu," katanya.

Bagaimanapun, Mahathir menyatakan beliau berbuat demikian kerana strategi politik.

"Memanglah kalau kita nak menang..kita mesti momokkan orang itu.

"Mereka pun momokkan diri saya... panggil saya mahafiraun, mahazalim. Macam-macam tuduh," katanya.

Dalam ceramah tersebut, Mahathir juga bercakap mengenai bekas partinya, Umno.

"Kita dapati yang baik boleh jadi buruk. Parti yang dulu melawan Malayan Union, menang dan dapat merdekakan negara kita, memakmurkan negara kita, sekarang parti ini diketuai oleh penyamun," katanya.

Mahathir sebelum ini mendakwa Datuk Seri Najib Razak melakukan penyelewengan dan kini bersama pembangkang termasuk DAP dalam usaha menjatuhkan perdana menteri itu.

Najib, yang menerima deposit bernilai berbilion ringgit dalam akaun bank peribadinya, mendakwa ia adalah "sumbangan" daripada keluarga diraja Arab Saudi dan bukan wang 1MDB seperti didakwa.

Beliau juga menafikan salah laku atau mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

Lihat Komen
ADS