Parti-parti pembangkang mesti mengutamakan pakatan mereka terlebih dahulu sekiranya mereka mahu berjaya dalam pilihan raya akan datang, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pakatan pembangkang, katanya, mesti belajar untuk membantu satu sama lain, dan tidak hanya memikirkan tentang parti sendiri tetapi hendaklah memikirkan tentang pakatan tersebut.

Bercakap di majlis mengumpul dana untuk cabang PKR Lembah Pantai di Kuala Lumpur malam tadi, Mahathir berkata pakatan itu yang mesti menang.

Dr Mahathir berkata pembangkang tidak boleh lupa objektif utamanya, iaitu untuk menjatuhkan BN dan pemimpinnya Datuk Seri Najib Razak.

Mengimbas kembali pengalamannya selama setengah dekad bersama Perikatan dan kemudiannya BN, Dr Mahathir berkata gabungan ia berjaya kerana objektif bersama mereka yang membolehkan parti komponen berkongsi pangkalan sokongan masing-masing.

Sebagai contoh, kata Dr Mahathir lagi, kekuatan parti pemerintah itu membolehkan calon bukan Melayu bertanding di kawasan majoriti Melayu.

Dalam ucapannya, Mahathir turut menekankan tentang keperluan untuk menggunakan logo bersama bagi pakatan pembangkang, sama seperti apa yang BN telah dilakukan dengan jayanya.

Bagaimanapun, Naib Presiden PKR yang juga tuan rumah majlis itu, Nurul Izzah berkata, sementara beliau bersetuju dengan cadangan Mahathir itu, ia akan menjadi satu cabaran yang besar untuk memperkenalkan simbol jenama baru kepada pengundi menjelang pilihan raya akan datang.

Katanya, ia lebih mudah bagi mereka berkempen di kawasan luar bandar jika menggunakan simbol yang sama.

Tetapi, katanya, mereka juga harus ingat bahawa cabarannya juga adalah untuk memperkenalkannya kepada pengundi," katanya dalam ucapannya.

Beliau berkata Pakatan Rakyat yang telah berkubur, telah cuba untuk mendaftar simbol yang sama sebelum ini tetapi ia telah ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan.

Majlis malam tadi menandakan kali pertama Nurul Izzah dan Dr Mahathir muncul di pentas yang sama.

Nurul Izzah pernah menjadi pengkritik kuat Mahathir berikutan penyingkiran bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri dan penahanannya oleh kerajaan Mahathir hampir 20 tahun yang lalu.

Tokoh pembangkang lain yang hadir di majlis itu termasuk Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Naib Presiden PKR Tian Chua, penasihat Parti AMANAH Kelantan Datuk Husam Musa dan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh.

[Baca berita penuh]