Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan bedah siasat kedua dibuat terhadap mayat S Balamurugan yang meninggal dunia dalam tahanan polis minggu lalu.

Hakim Datuk Azman Husin membenarkan permohonan adik mendiang, Balraj, dijalankan terhadap mayat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Timbalan pendakwa raya Fakhizaa Abu Bakar tidak membuat sebarang bantahan.

Peguam N Surendran berkata pasukan mereka akan mengeluarkan perintah yang dimaterai terlebih dahulu sebelum menyerahkannya kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah Hospital, di mana mayat mendiang disimpan.

“Kami akan cuba pastikan mayat dibawa ke HKL untuk menyempurnakan prosedur,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Surendran berharap bedah siasat itu akan dijalankan segera.

“Harapnya hari ini atau paling lambat esok,” katanya.

Balamurugan ditahan pada 6 Februari dan dilaporkan meninggal dunia dalam tahanan polis pada hari berikutnya.

Beliau dibawa ke mahkamah pada hari kematiannya, di mana beliau muntah darah dan majistret mengarahkan polis membawanya ke hospital dan membebaskannya.

Bagaimanapun, polis tidak menghantarnya ke hospital dan lelaki itu dilaporkan tidak lagi bernyawa pada keesokkannya.

Hasil bedah siasat mendapati mendiang meninggal dunia akibat kegagalan jantung, tetapi keluarga tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.