SPRM cekup pengurus besar agensi kerajaan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang pengurus besar sebuah agensi kerajaan berusia 62 tahun bersama isterinya, 38.
Lelaki itu dipercayai menyalahgunakan kedudukannya untuk memberikan lebih 50 projek bernilai hampir RM1 juta kepada dua syarikat milik isterinya.
Menurut sumber, pengurus besar ditahan pada jam 11 pagi di pejabatnya, manakala isteri ditahan di rumah mereka.
Menurut sumber, kedua-dua syarikat milik isterinya itu masing-masing ditubuhkan pada 2010 dan 2015.
“Suspek yang ditangkap di pejabat beliau pada jam 11 pagi tersebut didapati telah menyalahgunakan kedudukannya sejak memegang jawatan sebagai timbalan pengurus besar dari tahun 2014 hingga 2016, sebelum dilantik sebagai pengurus besar pada September tahun lalu.
“Suspek juga dipercayai terlibat secara langsung dalam proses perolehan pembekalan sebutharga berdasarkan tatacara perolehan yang ditetapkan oleh agensi tersebut dan juga pegawai yang bertanggungjawab meluluskan pembayaran kepada syarikat milik isterinya,” kata sumber itu.
Menurutnya, SPRM juga dilaporkan telah menggeledah pejabat dan rumah pengurus besar berkenaan. Turut digeledah adalah rumah dan pejabat syarikat milik isterinya yang terletak di Kuala Lumpur.
Kata sumber, SPRM juga merampas beberapa dokumen-dokumen yang melibatkan pemberian kerja-kerja kepada syarikat isteri beliau untuk tujuan siasatan.
Walaubagaimanapun, isteri pengurus besar tersebut telah dibebaskan selepas percakapannya dirakam oleh SPRM berhubung siasatan kes tersebut petang semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata suspek akan dibawa ke Mahkamah Putrajaya untuk permohonan perintah reman esok.

