Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images

Dipaksa berjuang sekali lagi pada pusingan kedua pemilihan gabenor Jakarta, Ahok jelas bersemangat dan kekal yakin.

Baginya, perjuangan yang dibawa belum selesai.

Bercakap pada sidang media di kediaman Megawati Sukarnoputri sebentar tadi, Ahok - atau nama sebenarnya Basuki Tjahaja Purnama - berkata sukarelawannya diharap terus bekerja memenangkan dia dan regunya Djarot, pada pemilihan akan datang.

"Ia sesuai dengan nama parti ini, iaitu Parti Demokrasi Indonesia - Perjuangan," katanya merujuk kepada parti PDI-P yang dipimpin Megawati Sukarnoputri ketika ini.

Keputusan awal pemilihan siang tadi menyaksikan pasangan Ahok dan Djarot memperoleh 43.5 peratus dan menjadi gandingan terbanyak mendapat undi.

Bagaimanapun mengikut peraturan sedia ada, seseorang calon tidak diisytihar sebagai pemenang sebenar kecuali mereka memenuhi formula "50 peratus + 1 undi".

Tempat kedua ialah pasangan Anies Baswedan dan Sandiga Uno manakala jauh tertinggal ialah gandingan anak lelaki bekas presiden, Agus H Yudhoyono dan Sylvia Murni.

Kata Ahok, beliau yakin apa yang dilakukannya sebagai gabenor sebelum ini diterima rakyat dan mereka akan memberikan mandat sekali lagi untuk mentadbir Jakarta.

"Perjuangan belum selesai. Kita akan teruskan perjuangan yang belum selesai ini," katanya pada sidang media di rumah Megawati yang terletak di Kebagusan, Pasar Minggu, Jakarta Selatan.

Sidang media itu turut dihadiri ramai penyokong Ahok yang datang dengan pakaian baju dengan corak berkotak-kotak.

Sementara itu Megawati berkata ada pengundi menghadapi kesulitan, malah sesetengahnya gagal membuang undi seperti sepatutnya.

Kata anak bekas presiden pertama Indonesia itu, sebahagian pengundi terbabit terpaksa pulang begitu saja selepas lama menunggu giliran.

"Mereka dikhabarkan bahawa kertas undi telah habis," katanya..
Hal itu, kata Megawati, telah diadukan kepada Komisi Pemilihan Umum yang mengendalikan pilihan raya di Indonesia.

Lihat Komen
ADS