Prosiding tahanan reman dua wanita warga asing berhubung kematian seorang lelaki warga Korea Utara Isnin lepas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, hari ini.

Kereta peronda polis yang membawa Majistret Sepang Sharifah Muhaymin Abd Khalid dilihat tiba di perkarangan IPD itu pada 10.30 pagi.

Beliau yang lengkap berjubah majistret dilihat meninggalkan kawasan berkenaan kira-kira setengah jam kemudian.

Dua wanita terbabit bagaimanapun tidak kelihatan.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat ketika dihubungi mengesahkan prosiding reman tersebut dan berkata kedua-dua wanita berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Terdahulu, warga media yang sebelum itu berkumpul di Mahkamah Sepang bergegas ke IPD tersebut setelah menerima maklumat prosiding reman akan diadakan di situ.

Media berkumpul di mahkamah

Sementara itu, kira-kira 100 wakil media tempatan dan antarabangsa berkumpul di kompleks mahkamah di Shah Alam seawal jam 7 pagi bagi membuat liputan mengenai penahanan reman suspek wanita berhubung pembunuhan warga Korea Utara di negara ini pada Isnin, yang dilaporkan sebagai abang kepada pemimpin Korea Utara.

Beberapa wakil media tempatan juga berkumpul di Mahkamah Majistret Sepang apabila menerima maklumat kemungkinan suspek akan direman di mahkamah itu.

Tindakan pihak polis yang 'mengunci rapat mulut' berhubung lokasi suspek akan direman menyebabkan warga media terpaksa menunggu di kedua-dua lokasi berkenaan.

Pada satu ketika warga media di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dikatakan 'menerima maklumat' kononnya suspek 'telah tiba' di mahkamah sehingga mereka berkejaran untuk mendapatkan posisi yang baik bagi merakamkan wajah wanita warga asing terbabit.

Bagaimanapun, selepas menunggu kira-kira empat jam, warga media mula resah apabila kelibat suspek terbabit langsung tidak kelihatan sehinggalah menerima perkhabaran bahawa dua suspek wanita berkenaan telah pun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang bagi mendapatkan perintah reman.

Isnin lalu, Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dilapor berada di klia2 pada pukul 8 pagi untuk menaiki pesawat ke Macau apabila seorang wanita didakwa menutup mukanya dengan kain yang diletak racun.

Jong-nam yang menggunakan nama Kim Chol dilapor mati dalam perjalanan ke hospital.

Beberapa warga media turut kelihatan hampa apabila terlepas membuat liputan prosiding reman di IPD Sepang.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat mengesahkan prosiding reman tersebut dan berkata kedua-dua wanita berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Jadi tajuk utama 

Sementara itu seorang wartawan daripada sebuah akhbar perdana Korea Selatan yang hanya mahu dikenali sebagai Park, 36, berkata pembunuhan Kim Chol menjadi tajuk utama berita kerana rakyat Korea Selatan mahu mengetahui lebih banyak perkembangan kes tersebut.

Park yang tiba dengan jurufotonya semalam berkata mereka akan membuat liputan kes berkenaan sehingga mayat mangsa dibawa balik ke Korea Utara.

Seorang wartawan Jepun, Hiroshi Sukagawa, 23, yang tiba di Malaysia pada Selasa berkata kes tersebut mempunyai nilai berita tinggi buat rakyat Jepun.

Beliau yang bekerja untuk Tokyo Broadcasting System (TBS) berkata rakyat Jepun berminat dengan berita mengenai Korea Utara kerana kedua-dua negara terletak berdekatan antara satu sama lain.

"Walaupun kami baru mengetahui mengenai berita ini dan tidak mempunyai banyak maklumat mengenainya, kami sedang berusaha memperolehnya.

"Rakyat Jepun begitu berminat untuk mengetahui mengenai Korea Utara terutama berkaitan pemimpin mereka kerana pemimpin mereka menjadi ancaman kepada negara kami," katanya.

- Bernama