Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMK: Lemahnya Noh di depan Jamal
Diterbitkan:  Feb 16, 2017 2:39 PM
Dikemaskini: 6:45 AM

Pemuda PKR (AMK) Selangor mempertikaikan tindakan pemimpin kanan Umno Selangor mempertahankan demonstrasi 'keranda dan van jenazah” Datuk Seri Jamal Md Yunos di Shah Alam, kelmarin.

Pengarah komunikasinya Muhammad Naqib Nasaruddin menyalahkan Pengerusi Umno negeri Tan Sri Noh Omar, sebagai seorang menteri menyokong tindakan itu.

“Tindakan Noh Omar itu boleh disifatkan seperti mengganggu kesejahteraan dan kemakmuran Negeri Selangor,” katanya.

“Adalah tidak masuk akal apabila seorang yang bertaraf menteri boleh menyokong tindakan yang seolah-olah mempermainkan agama itu malah mengganggu urusan jenazah dan proses-proses berkaitan.

Noh malam tadi seperti mewajarkan tindakan Jamal itu yang katanya hanya mahu menuntut penjelasan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Selasa lalu, Jamal membawa berbelas-belas van jenazah, keranda dan berpakaian seperti penggali kubur di depan pejabat SUK.

Beliau hadir membuat gimik berkenaan setelah mengesyaki terdapat penyelewengan beberapa program kebajikan negeri, termasuk skim khairat kematian.

Merujuk kepada keranda yang dipikulnya, Jamal juga berkata "Anggap sajalah Azmin ada di dalamnya, ya.”

Dalam kenyataan hari ini, Naqib berkata Noh seharusnya lebih peka kepada sensitiviti agama dan masyarakat kerana van jenazah dan keranda bukanlah barangan yang boleh dipersendakan.

“Adakah Noh Omar begitu lemah untuk menegur salah laku Jamal sehingga terpaksa menyokong tindakan tidak bertanggungjawab itu?” soalnya.

Memetik kritikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap tindakan sama, Naqib turut menuntut Noh memohon maaf bagi pihak Jamal dan mencabar tindakan tegas dikenakan pada pemimpin akar umbi Umno itu.

Lihat Komen
ADS