KP perjelas kes kematian anggota tentera akibat leptospirosis
Kes seorang anggota tentera yang meninggal dunia akibat leptospirosis kelmarin, tidak mempunyai kaitan dengan kejadian kluster jangkitan saluran pernafasan di Tanah Merah, Kelantan sebelum ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara itu disahkan selepas kementerian menjalankan siasatan terhadap kes melibatkan mangsa yang berkhidmat di Kem Tentera Bayan Lepas, Pulau Pinang itu.
Menurutnya, mangsa mula mengalami gejala demam dan sakit badan pada 8 Februari diikuti cirit-birit dan sesak nafas.
"Pada 12 Februari ketika pulang bercuti di Kelantan, pesakit mendapatkan di Klinik Kesihatan Tanah Merah dan seterusnya dirujuk untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Tanah Merah," katanya dalam kenyataan semalam.
Dr Noor Hisham berkata pesakit meninggal dunia di hospital itu akibat komplikasi daripada jangkitan leptospirosis yang dialaminya.
Pada 11 Februari lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam mengesahkan tiga individu di Kelantan mengalami leptospirosis atau jangkitan kencing tikus yang dipercayai ada kaitan dengan kejadian banjir di Tanah Merah, baru-baru ini.
Menurut Dr Subramaniam, ketiga-tiga individu berkenaan adalah antara enam orang yang dimasukkan ke wad Hospital Tanah Merah selepas dipercayai menghidap apa yang disifatkan ketika itu sebagai 'virus misteri' setelah berkunjung ke majlis perjumpaan keluarga di Kajang, Selangor.
Serangan itu menyebabkan seorang daripada mereka iaitu lelaki berusia 59 tahun meninggal dunia, namun setakat ini punca kematiannya masih disiasat disebabkan mangsa mempunyai sejarah penyakit lain.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham dalam laman Facebooknya menjelaskan penutupan sementara Sungai Congkak, Hulu Langat adalah untuk tujuan pembersihan dan tiada kaitan dengan kluster jangkitan pernafasan yang berlaku.
- Bernama

