Kematian Kim Jong-nam, Vietnam kerjasama erat dengan M'sia
Pihak berkuasa Vietnam bekerjasama erat dengan Malaysia terutama berhubung penahanan seorang wanita yang dikaitkan dengan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara.
Agensi Berita Vietnam (VNA) melaporkan jurucakap Kementerian Luar, Nguyen Phuong Tra sebagai berkata negara itu akan bekerjasama dengan negara lain bagi menangani dan membanteras jenayah.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai insiden itu dan penahanan wanita berusia 29 tahun yang dikatakan memiliki dokumen perjalanan negara tersebut dengan nama Doan Thi Huong, yang disyaki terlibat dengan pembunuhan berkenaan.
Tra menegaskan Vietnam mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan jenayah atas apa juga alasan.
Semalam Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan lelaki Korea Utara yang mati di klia2 pada Isnin lepas adalah Jong-nam.
Selain wanita berusia 29 tahun itu, polis turut menahan seorang lelaki Malaysia dan seorang wanita bernama Siti Aisyah yang memegang pasport Indonesia, untuk membantu siasatan.
Menurut laporan, pegawai diplomat Indonesia telah menemui Siti Aisyah dan mengesahkan dia adalah warga Indonesia.
Rakaman CCTV
Sementara itu, polis telah meneliti beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) dalam siasatan kes bunuh Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Bernama berkata polis juga telah mengambil keterangan beberapa saksi di klia2.
"Sudah," katanya ringkas kepada pertanyaan sama ada polis telah berbuat demikian.
Setakat ini, seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh Jong-nam.
Pada Isnin lepas, Jong-nam dilaporkan berada di klia2 untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila seorang wanita dikatakan menghampiri mangsa sebelum menekup mukanya dengan kain yang mengandungi cecair beracun.
Jong-nam dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
- Bernama

