Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Demo BEBAS: Jumlah kecil kerana takut dituduh anti-Islam

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai BEBAS menganggarkan kira-kira 100 orang yang akan hadir pada himpunan balas terhadap Himpunan Akta 355 PAS.

Jurucakap BEBAS Azrul Mohd Khalib berkata, walaupun hanya menganggarkan seramai 100 orang, namun katanya, beliau yakin ramai yang menyokong tindakan mereka membantah pindaan Akta 355.

"Kita memang nak pastikan orang ramai hadir dan jangan takut. Tetapi masing-masing ada pendirian masing-masing.

"Pada yang nak hadir, hadirlah. Tapi ramai yang takut (untuk hadir) walaupun mereka sependapat.

"(Kerana) cara PAS seakan-akan menunjukkan, kalau tak setuju dengan mereka, kita ini anti-Islam," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Selain itu, Azrul turut memberitahu, tujuan utama perhimpunan yang dianjurkan mereka adalah untuk menyuarakan bantahan terhadap usul yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Yang penting kita bukan nak bersaing dengan PAS siapa yang lebih ramai. Esok kita cuma nak keluarkan suara kita untuk menentang usul Hadi," katanya lagi.

Sebelum ini, Azrul memberitahu, perhimpunan mereka bertujuan menunjukkan bantahan keras terhadap usaha Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali sebagai Akta 355.

Perhimpunan anjuran BEBAS yang dinamakan 'Rakyat Tolak Usul Hadi' itu akan diadakan di Taman Jaya, Petaling Jaya bermula jam 3 hingga 5 petang.

BEBAS akan menampilkan sembilan penceramah antaranya bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, Peguam Siti Kassim, dan aktivis Haris Ibrahim.

PAS pula akan melangsungkan acara mereka di Padang Merbuk, Kuala Lumpur pada masa yang sama tetapi kehadirannya dijangka jauh lebih besar.

Lihat Komen
ADS