Lesen PSV: MMC akan putuskan penalti kepada doktor terlibat
Nasib tujuh doktor ditahan atas dakwaan meluluskan pemeriksaan kesihatan bagi pembaharuan lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) tanpa menjalankan pemeriksaan sewajarnya ke atas pemohon akan ditentukan berdasarkan keputusan prosiding mahkamah.
Presiden Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Dr Noor Hisham Abdullah berkata tertakluk kepada keputusan mahkamah, seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perubatan 1971, jawatankuasa siasatan Majlis akan memutuskan hukuman sewajarnya ke atas doktor terbabit.
"Hukuman merangkumi teguran, penggantungan lesen untuk mengamal dan mungkin juga membawa kepada pembatalan pendaftaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham yang juga ketua pengarah kesihatan, berkata perbuatan sedemikian, jika dibuktikan, tergolong dalam kategori pengabaian tanggungjawab profesional iaitu satu bentuk kelakuan buruk dalam kalangan pengamal perubatan berdaftar.
Pada 15 Februari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan tujuh doktor terbabit bersama tiga individu lain iaitu seorang pembantu klinik wanita berusia 41 dan dua lelaki - dipercayai berperanan sebagai 'utusan' dalam kegiatan itu.
Siasatan SPRM mendapati mereka tidak menjalankan prosedur pemeriksaan terhadap pemohon, terutama pemandu bas dan teksi yang mahu memperbaharui lesen PSV mereka.
Dr Noor Hisham berkata MMC melihat perkara itu sebagai suatu yang amat serius dan sangat tidak wajar memandangkan perbuatan tersebut bertentangan dengan amalan perubatan yang diperuntuk di bawah Garis Panduan untuk Amalan Perubatan Yang Baik dan Kod Amalan Profesional pengamal perubatan berdaftar.
"Ini bagi memastikan mereka terus melindungi keselamatan pesakit yang merupakan aspek terpenting bagi seseorang pengamal perubatan," katanya.
- Bernama

