Warga Indonesia maut dibelit ular sawa
Malang menimpa seorang lelaki warga Indonesia apabila maut selepas dibelit seekor ular sawa seberat 100 kilogram dalam kejadian di Kampung Batu Rambutan, Jabor, di Kuala Terengganu malam tadi.
Dalam insiden pada jam 9.15 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Safar, 49, maut di tempat kejadian.
Difahamkan mangsa mengalami beberapa kecederaan parah selepas dibelit kira-kira satu jam sebelum dibantu penduduk kampung menetak ular tersebut untuk melepaskan belitan.
Ketika kejadian, Safar sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah selepas menziarahi rakannya di Jabor apabila terserempak dengan reptilia sepanjang lima meter itu melintas jalan.
Dia kemudiannya memberhentikan motosikal untuk menangkap ular sawa tersebut namun dipercayai tiba-tiba haiwan itu bertindak agresif dan membelit badan mangsa.
Seorang saksi Mohd Yazid Ibrahim, 30, berkata dia dan isterinya terdengar jeritan mangsa meminta tolong sebelum melihat mangsa dibelit ular dari paras kaki hingga leher.
"Kami cuba membantu namun ular itu bertindak agresif sebelum isteri saya bergegas meminta pertolongan penduduk kampung," katanya.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian tersebut.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat. Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

