Imigresen tidak diarah berhenti tahan pelarian
Terjemahan Walaupun kerajaan mengumumkan tahun lalu bahawa orang pelarian yang dilindungi oleh Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) tidak akan ditangkap, tetapi arahan tersebut tidak dikeluarkan kepada pihak Imigresen.
Terjemahan Walaupun kerajaan mengumumkan tahun lalu bahawa orang pelarian yang dilindungi oleh Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) tidak akan ditangkap, tetapi arahan tersebut tidak dikeluarkan kepada pihak Imigresen.
Berikutan, orang pelarian yang mempunyai dokumen perlindungan UNHCR, turut ditangkap kerana ia tidak diiktiraf oleh pihak penguatkuasa di Malaysia.
Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan, yang bercakap bagi pihak pemangku pengarahnya, Zainun Saleh, berkata para pegawainya hanya menjalankan tugas mereka.
Beliau yang tidak mahu namanya disebut, berkata, bahagiannya tidak menerima sebarang arahan daripada kerajaan supaya jangan menangkap orang pelarian.
"Sebagai pegawai imigresen, yang penting orang asing mesti memiliki dokumen yang sah dan pas untuk tinggal (di Malaysia). Pada masa ini, tiada ada perjanjian (mengenainya) dengan pihak UNHCR," jelasnya.
Menurutnya lagi, semua yang ditahan akan dihadapkan ke mahkamah majistret dalam tempoh 24 jam mereka ditangkap untuk mendapatkan perintah reman.
Mereka kemudiannya akan dihantar ke kem tahanan Semenyih di Selangor, tidak lewat daripada 14 hari selepas ditahan tidak kira sama ada mereka memiliki atau tidak, surat perlindungan dari UNHCR.
"Oleh itu, adalah mustahil untuk sesiapa mendakwa telah ditahan dalam bilik kurungan kami selama 23 hari," katanya sebagai mengulas dakwaan pelarian Aceh, Muhammad Nurul Al-Khalil mengenainya baru-baru ini.
Bilik kurungan
Pegawai itu juga berkata, mereka yang ditahan boleh memaklumkan kepada majistret dan jika benar mereka telah dididera, sudah pastinya perkara tersebut telah dibangkitkan di mahkamah.
Muhammad Nurul, yang telah dibebaskan daripada tahanan selama tiga bulan di lokap jabatan berkenaan di Damansara dan kemudiannya dihantar ke Semenyih, mendakwa bilik yang terletak di tingkat lima bangunan jabatan itu, juga kecil dan penuh sesak.
Apabila malaysiakini dibawa melihat bilik tersebut, terdapat lebih 12 tahanan lelaki dan kira-kira 24 tahanan wanita dalam dua bilik berasingan yang terletak bersebelahan. Setiap bilik itu berukuran kira-kira 5 x 10 meter bersama bilik air.
Bagaimanapun, pegawai imigresen berkenaan tidak membenarkan diambil gambar bilik-bilik terbabit.
"Malam tadi, kami melancarkan serbuan dan menahan tiga rakyat asing. Bila kami melancarkan operasi, ia tidak disertai ramai pegawai, jadi bagaimana kami hendak menahan jumlah yang ramai. Mereka yang ditahan dalam serbuan oleh Rela dihantar terus ke Semenyih," kata pegawai tersebut.
Rela telah diberi kuasa oleh kerajaan untuk membantu pihak imigresen dan polis menangkap pendatang tanpa izin.
Pegawai itu berkata, ada masanya para pegawai imigresen turut menyertai serbuan yang dilancar oleh pihak Rela, tetapi rakyat asing ditahan, biasanya berjumlah lebih 100 orang, dihantar terus ke pusat tahanan di Selangor.
Berhubung dakwaan Muhammad Nurul (foto) mengenai soal penjagaan kesihatan yang teruk, pegawai berkata, dalam kes-kes penyakit yang tidak serius seperti demam penghuni akan diberi panadol.
"Bagaimanapun, jika sakit mereka teruk, kami akan menghubungi unit perubatan kecemasan dan dibawa mendapatkan rawatan di hospital," tambahnya.
Penjelasan beliau itu bercanggah dengan dakwaan berterusan para aktivis hak asasi manusia, malah oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sendiri, mengenai keadaan sesetengah lokap imigresen yang dalam keadaan amat teruk.

