Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Seorang penunggang basikal didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan menggunakan kekerasan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Muhammad Nur Rabbani Shariffhuddin, 23, dituduh melakukan kesalahan itu di depan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Raja Laut.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhd Farzli Muhammad, yang menjalankan kewajipannya sebagai penjawat awam.

Muhammad Nur Rabbani didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun Muhammad Nur Rabbani mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.15 pagi semalam.

Sebelum ini kira-kira 40 pengayuh basikal berkumpul untuk menyatakan protes mereka terhadap DBKL yang merampas sejumlah basikal.

Mereka juga menuntut pihak berkuasa tempatan itu membayar ganti rugi atas kerosakan sebuah basikal berharga RM3,000 yang ditinggalkan berkunci di tepi jalan.

Kumpulan terbabit mendakwa mereka terpaksa meletak basikal masing-masing di tepi jalan kerana tiada tempat sesuai disediakan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin menawarkan Muhammad Nur Rabbani dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM3,000 dan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam bela, Eric Paulsen, memohon supaya jumlah itu dikurangkan kepada RM1,500 kerana tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap.

Majistret Mahyuddin Mohamad Som kemudian membenarkan Muhammad Nur Rabbani diikat jamin sebanyak RM1,500 dan menetapkan kes berkenaan disebut semula pada 15 Mac ini.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS