Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO Jamal lapor SPRM dakwaan kekayaan pegawai khas Azmin

Gabungan NGO-NGO Selangor hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kekayaan pegawai khas kepada menteri besar Selangor, Muhammad Hilman Idham.

Penasihat Undang-undang NGO itu, Datuk Mohd Imran Tambrin berkata, ini kerana gaya hidup mewah orang kepercayaan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak sepadan dengan pendapatannya selaku penjawat awam.

Jelasnya, laporan itu juga dibuat berikutan tersebar gambar-gambar kemewahan pegawai khas Azmin itu di media sosial baru-baru ini.

"Kita lihat kemewahannya di luar daripada munasabah dan Hilman ini adalah penjawat awam dalam kerajaan Selangor.

"Berdasarkan kepada gambar-gambar yang telah viral sekarang ini jadi kami hadir buat laporan berkenaan dengan kemewahan yang meragukan yang dimiliki oleh pegawai khas Menteri Besar Selangor serta rakan-rakan beliau," kata Imran ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat SPRM di Shah Alam, Selangor.

Menurut Imran, berdasarkan gambar yang tersebar, Hilman antara lain didakwa memiliki jam tangan bernilai RM87,000, manakala isterinya memperagakan beg tangan mewah berjenama Louis Vuitton.

Sehubungan itu beliau menyerahkan laporan empat muka surat dan lima muka surat lampiran berhubung dakwaan berkenaan kepada SPRM hari ini.

Selain itu, Imran turut menggesa Hilman mengisytiharkan harta selaras dengan pendirian PKR yang sebelum ini mendakwa bersikap telus, terutama melibatkan pengurusan kewangan.

Sementara itu, salah seorang anggota NGO itu, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, laporan itu adalah susulan dakwaan dibuat pengerusinya, Datuk Seri Jamal Md Yunos pada 14 Februari lalu.

Jamal ketika membuat bantahan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, mendakwa pegawai khas Azmin itu menyalahgunakan kedudukan beliau dan rakan-rakannya untuk mendapatkan kekayaan.

"Jadi kami nak tanya dari mana mereka dapat semua ini. Adakah mereka menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan sumber yang kita tidak pasti dari mana. Kita mahu perkara ini disiasat," kata Razali.

'Kes telah ditutup'

Sementara itu, Hilman ketika dihubungi menyifatkan tuduhan terhadapnya sebagai fitnah dan mendakwa kes itu telah ditutup selepas siasatan dibuat.

"Biarlah, biar SPRM buat kerja dia.

"Lagi pun mereka sudah terlambat sebab sebelum ini sudah ada laporan dibuat ke atas saya dan siasatan telah dibuat manakala kes juga telah ditutup," ujarnya kepada Malaysiakini.

Katanya, beliau akan membuat laporan polis berhubung laporan itu dalam masa terdekat, selain sedia bekerjasama dengan SPRM sekiranya diminta berbuat demikian.

"Saya sedia kerjasama dengan SPRM. Cukuplah fitnah tu, kita ada kerja nak buat," katanya.

Lihat Komen
ADS