Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tumpas Geng Ah Lai, rampas senjata api

Sindiket penyeludupan daun ketum yang dikenali dengan nama 'Geng Ah Lai' di negeri ini tumpas, apabila polis menahan tiga
anggotanya termasuk ketua kumpulan itu, Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Supt Azahar Muda, berkata kumpulan yang telah diburu sejak 2015 itu merupakan sindiket berbahaya yang menggunakan senjata api ketika melakukan aktiviti penyeludupan ketum ke negara jiran.

"Penangkapan tiga suspek itu termasuk seorang warga Thailand ini ialah susulan penahanan tiga lagi ahli kumpulan itu yang ditangkap awal bulan ini.

Mereka yang berusia 23 hingga 29 tahun ini masing-masing ditahan pada jam 1.45 pagi, di mana dua ditahan di Seriab dan seorang lagi di sebuah rumah di Kampung Wai, dekat Kuala Perlis," katanya pada sidang media di Kangar, hari ini.

Azahar berkata, susulan penahanan ketiga-tiga lelaki itu, polis menemukan senjata api iaitu pistol jenis Revolver serta selaras senapang serta 60 peluru, sepasang gari dan senjata buku lima.

“Revolver beserta peluru, gari dan buku lima ditemui di dalam rumah suspek di Kampung Wai, manakala senapang pula ditemui ditanam sedalam lima inci oleh salah seorang suspek di kawasan hutan berhampiran rumah suspek.

Penemuan tersebut menjadikan kes rampasan senjata api kali kedua membabitkan kumpulan berkenaan selepas awal bulan ini polis merampas sepucuk pistol separa automatik dan sepucuk pistol tiruan,” katanya.

Azahar berkata bagaimanapun, siasatan polis mendapati geng itu masih belum menggunakan senjata api terbabit untuk melepaskan tembakan serta ujian air kencing mendapati dua daripada mereka positif dadah.

"Walaupun mereka masih belum menembak sesiapa, kita khuatir jika keadaan terdesak mereka sanggup melepaskan tembakan," katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak sampai 14 tahun serta sebat tidak lebih enam sebatan.

Semua suspek disambung reman hingga Rabu depan. -Bernama

Lihat Komen
ADS