Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zeti Akhtar sedia bantu siasatan forex
Diterbitkan:  Feb 23, 2017 1:20 PM
Dikemaskini: 8:50 AM

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bersedia untuk bekerjasama membantu siasatan dakwaan kerugian AS$10 bilion oleh bank pusat itu dalam perdagangan pertukaran asing pada sekitar 1990-an.

Bercakap kepada pemberita  hari ini, Zeti berkata isu itu tidak pernah dibangkitkan sepanjang tempoh 16 tahun beliau sebagai Gabenor.

“Bank Negara telah melaksanakan pengurusan risiko dan struktur tadbir urus yang ketat untuk memastikan perkara seperti itu tidak berlaku lagi.

"Siasatan selesai sebelum tempoh saya menjadi gabenor. Saya berkhidmat dengan bank pusat selama 35 tahun. Selepas peristiwa itu, disiplin yang ketat dilaksanakan," katanya.

Zeti berkata demikian selepas majlis pelancaran enam buku dan sebuah monograf mengenai Kewangan Islam yang diterbitkan oleh Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF).

"Ia adalah perkara yang berlaku hampir 30 tahun lalu. Ia adalah hasrat kepimpinan sekarang yang mahu menyiasat perkara itu. Tetapi, saya tidak boleh mengulas hingga siasatan selesai," katanya.

Kabinet minggu lalu memutuskan untuk membentuk satu pasukan petugas khas untuk menyiasat apa yang didakwa sebagai "kerugian sebenar" Bank Negara pada masa itu dan mereka yang bertanggungjawab.

Pengkritik bagaimanapun mendakwa bahawa pasukan petugas itu bertujuan untuk mencemarkan imej Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri ketika itu tetapi kini bersama pembangkang.

Kabinet semalam juga mengumumkan bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas itu.

 

Lihat Komen
ADS