Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Program kelangsingan: Pengurus kanan MAHB direman empat hari
Diterbitkan:  Feb 23, 2017 1:34 PM
Dikemaskini: 5:36 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan reman seorang pegawai kanan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi membantu siasatan kes penyelewengan kira-kira RM80,000 untuk rawatan kecantikan kulit dan program pelangsingan.

Perintah tahanan reman selama empat hari mulai hari ini ke atas lelaki itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret di Putrajaya.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan peribadi.

Menurut sumber SPRM, SPRM memohon tempoh reman selama tujuh hari namun dikurangkan kepada empat hari setelah mahkamah diberitahu lelaki itu mempunyai masalah kesihatan.

Dia ditahan di kediamannya di Kuala Lumpur pada kira-kira 11 pagi Rabu.

Laporan media menyebut pegawai itu disyaki menyalahgunakan kad kredit korporat yang dibekalkan MAHB kepadanya untuk menjalani satu rawatan yang tidak terdapat dalam kontrak faedah.

Difahamkan, kad kredit berkenaan hanya untuk kegunaan rasmi berdasarkan apa yang dinyatakan dalam Prosedur Operasi Standard Syarikat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS