Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes rasuah rumah urut: SPRM tahan pengarah Imigresen
Diterbitkan:  Feb 23, 2017 1:49 PM
Dikemaskini: 6:00 AM

SPRM hari ini menahan empat individu termasuk Pengarah Imigresen Perak bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan pusat hiburan dan rumah urut.

Keempat-empat suspek ditahan antara jam 12 tengah malam semalam dan 5.30 pagi tadi di beberapa lokasi di Perak.

Pengarah berusia 57 tahun itu ditahan bersama dua ahli perniagaan masing-masing berusia 30 tahun dan seorang mekanik berusia 26 tahun.

Mereka dipercayai menerima bayaran bulanan antara RM1,000 hingga RM10,000 daripada pengusaha pusat hiburan dan rumah urut yang beroperasi di Perak.

Semua mereka kemudiannya direman selama lima hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

Perintah tahanan reman sehingga Isnin itu dikeluarkan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah di Mahkamah Majistret di Ipoh.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Nooraziah Abd Manaf ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Lihat Komen
ADS