Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Penjawat awam berisiko dibuang kerja jika...
Diterbitkan:  Feb 23, 2017 3:20 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Kakitangan perkhidmatan awam berhadapan risiko dibuang kerja sekiranya parti pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) amat prihatin terhadap kebajikan kakitangan perkhidmatan awam di negara ini, tetapi parti pembangkang menyatakan perkhidmatan awam negara ini berlebihan kakitangan.

"Janji dia orang (parti pembangkang) ialah untuk mengurangkan separuh daripada jumlah kakitanggan perkhidmatan awam apabila mereka memerintah.

"Ini bermakna ramai kakitangan perkhidmatan awam akan kehilangan pekerjaan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Negeri Sarawak 2016 di Kuching hari ini.

Oleh sebab itu, katanya terpulanglah kepada kakitangan kerajaan sama ada mahu kekalkan kerajaan BN atau pilih kerajaan lain yang akan memberhentikan perkhidmatan mereka.

Beliau berkata selain menjaga kebajikan penjawat awam, kerajaan BN juga mengamalkan dasar menjaga kepentingan masyarakat Bumiputera seperti termaktub dalam perlembagaan tanpa menyekat kepentingan kaum-kaum lain untuk berjaya di negara ini.

"Kita (kerajaan BN) membantu kaum Bumiputera dari segi pembangunan sosioekonomi mereka termasuk kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

"Jadi kalau mereka mahu keistimewaaan yang dijanjikan oleh perlembagaan dikekalkan maka mereka harus kekalkan kerajaan yang sedia ada," katanya dan menurutnya BN telah terbukti sentiasa dan boleh menjaga kepentingan kaum Bumiputera di negara ini

"Pesanan saya ialah kekalkan kerajaan BN yang ada ketika ini,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata berdasarkan keputusan pilihan raya negeri Sarawak pada Mei tahun lepas, BN boleh menang 29 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada pilihan raya umum akan datang.

Mengenai penubuhan Mara Digital, beliau berkata pusat perniagaan produk teknologi maklumat (IT) khusus untuk usahawan Bumiputera itu akan dibangunkan di semua negeri termasuk di Kuching dan bandar-bandar lain.

Ismail Sabri berkata beliau telah mengarahkan pengarah Mara negeri untuk mendapatkan premis sesuai untuk Mara Digital terutama di bangunan atau arked Mara bagi tujuan memeriahkan kehadiran pengunjung ke premis-premis berkenaan.

Selain itu, katanya ia juga bertujuan untuk memberi peluang kepada generasi muda Bumiputera turut serta dalam perniagaan produk IT.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS