Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Selepas himpunan Akta 355, HARAP 3.5 PAS gempur Umno
Diterbitkan:  Feb 23, 2017 3:53 PM
Dikemaskini: 8:18 AM

Selepas mengadakan himpunan Akta 355 dengan kehadiran beberapa pemimpin Umno, PAS meneruskan kempen pilihan raya menentang parti Melayu itu di Besut, Terengganu.

Menurut Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, pihaknya akan menggempur kubu kuat Umno di kawasan itu dalam Himpunan Harapan Semua-PAS Ganti Umno (HARAP) 3.5.

Ia akan diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kampung Raja pada 23 hingga 25 Februari, kata Wan Azhar.

"Besut merupakan kubu kuat Umno sekali gus melambangkan kekuatan BN Terengganu. Namun, kekuatan itu semakin lemah apabila Umno BN kini sudah hilang kepercayaan dalam kalangan ahli parti sendiri.

"Peluang PAS kembali cerah bagi mengulangi sejarah kemenangan parti itu sebagaimana tahun 1999 lalu.

“Selesai kita bersolidariti di Padang Merbok, seluruh ahli dan jentera parti (PAS) Terengganu akan ‘berkampung’ pula di DUN Kampung Raja, Besut untuk HARAP 3.5," katanya, memetik laporan Harakah Daily.

Sebelum ini, MIC menyuarakan kebimbangannya terhadap kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam perhimpunan menyokong usaha menambah hukuman maksimum Mahkamah Syariah.

Ketua MIC, Datuk Seri S Subramaniam berkata beliau tidak tahu Jamil akan hadir dalam acara itu dan akan membawanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Selain puluhan ribu orang, perhimpunan bertemakan pakaian ungu anjuran PAS itu turut dihadiri oleh timbalan Jamil, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan bekas menteri Umno Tan Sri Syed Hamid Albar.

Mengulas lanjut, Wan Azhar berkata, pihaknya akan mengumpul kekuatan dan sasaran untuk memenangi empat DUN dan satu kerusi Parlimen.

“Saya menyeru dan mengajak kepada seluruh pendukung gerakan Harakah Islamaiyah PAS untuk sama-sama memikul tanggungjawab sebagai tetamu atau penyambut tetamu.

“Kehadiran ribuan peserta HARAP 3.5 kelak akan membantu menyuntik semangat bekerja dengan penuh komited dan iltizam untuk menjayakan operasi menawan Terengganu dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Visi dan misi yang telah kita sepakati itu sangat penting untuk dijayakannya, insya-Allah, PAS kawasan Besut akan menjadi pelengkap kepada kemenangan itu,” jelasnya.

Lihat Komen
ADS