Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pejabat syarikat penerbangan Korea Utara di sini 'lenyap'
Diterbitkan:  Feb 23, 2017 4:10 PM
Dikemaskini: Feb 24, 2017 8:18 AM

Misteri menyelubungi lokasi pejabat syarikat penerbangan negara Korea Utara di sini berikutan pembunuhan Kim Jong-nam - abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Pejabat syarikat penerbangan itu di sini menjadi tumpuan perbincangan selepas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya sedang mencari seorang kakitangan Air Koryo berhubung kes berprofil tinggi itu.

Seorang kakitangan sebuah pejabat maya bagi pejabat perwakilan Air Koryo di Jalan Ampang, bagaimanapun, enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai syarikat penerbangan itu, lapor The Star.

"Tidak, ia tidak ada di sini," kata seorang kakitangan lelaki di meja penyambut tamu, dan kemudian mengangkat bahu dan terus menutup pintu apabila ditanya mengenai Air Koryo semalam.

Difahamkan bahawa pejabat maya, Worldwide Highsky Sdn Bhd, juga telah menurunkan papan tanda Air Koryo, walaupun syarikat penerbangan itu disenaraikan pada panel dinding sebagai salah satu daripada 24 syarikat yang mendapat perkhidmatan syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada ia dilakukan atas arahan wakil syarikat penerbangan tersebut atau oleh pejabat maya itu sendiri bagi mengelakkan pertanyaan media seterusnya, lapor The Star.

Akhbar harian berbahasa Inggeris itu berkata apabila petugas media mendekati kakitangan di situ, mereka memberi jawapan standard "tiada komen" apabila ditanya mengenai Air Koryo.

Dan apabila wartawan penyiaran dari Korea Selatan mula membuat rakaman video pejabat tersebut, dua penyambut tetamu terus beredar dari situ.

Dua pengawal keselamatan dan seorang pencuci ketika didekati berkata mereka tidak pernah melihat kakitangan syarikat penerbangan Korea Utara itu di situ.

Selain kakitangan Air Koryo itu, Khalid semalam berkata, suspek yang lain yang dikehendaki untuk siasatan pembunuhan Jong-nam itu adalah setiausaha kedua di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS