Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat bagaimana agen saraf VX masuk ke M'sia - IGP
Diterbitkan:  Feb 24, 2017 3:11 PM
Dikemaskini: 7:13 AM

Polis akan menyiasat bagaimana bahan kimia 'Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphosphonothiolate atau Agen Saraf VX dibawa masuk ke negara ini dan digunakan dalam kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata bahan kimia itu dilarang dibawa masuk ke Malaysia kerana ia disenaraikan sebagai senjata kimia di bawah Jadual 1, Akta Konvensyen Senjata Kimia Malaysia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia (CWC) 1997.

"Bahan kimia itu memang diharamkan... kerana ia adalah senjata maut. Jika dibawa masuk dengan jumlah yang kecil susah kita nak kesan," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Makkah untuk menunaikan ibadat umrah hari ini.

Pada 13 Februari lepas, Jong-nam yang merupakan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk penerbangan ke Macau apabila dua wanita didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Jong-nam, yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Ditanya sama ada tempat kejadian dicemari radioaktif, Khalid berkata polis juga akan menyiasat.

Terdahulu, dalam kenyataan, Khalid berkata laporan awal analisis Jabatan Kimia Malaysia mendapati bahan kimia Agen Saraf VX dikaitkan dalam kes pembunuhan itu.

Mengenai laporan bahawa waris Jong-nam akan datang ke Malaysia dalam waktu terdekat untuk menuntut jenazah dan memberikan sampel DNA, Khalid berkata laporan tersebut adalah tidak tepat.

"Belum lagi ada aturan untuk waris mangsa datang ke Malaysia. Kami telah meminta Kedutaan Korea Utara untuk memaklumkan kepada waris dan masih menunggu respons daripada mereka," katanya.

Selain itu, katanya, polis tidak akan menghantar pasukan ke Macau untuk mendapatkan sampel DNA waris tetapi akan menunggu waris untuk datang dan membuat pengecaman mayat serta memberi sampel DNA.

Ditanya sama ada beliau berhubung dengan Kedutaan China mengenai waris Jong-nam, beliau menjawab: "Tidak".

Ditanya sama ada pembunuhan Jong-nam merupakan satu komplot jahat Korea Utara, Khalid berkata beliau tidak mahu membuat kesimpulan awal.

"Kami akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kematiannya," katanya.

Katanya, adalah terlalu awal untuk menghadapkan suspek dalam kes tersebut di mahkamah kerana siasatan masih belum lengkap.

"Biar selesai siasatan, kita akan mengemukakan kes ini kepada Peguam Negara untuk tindakan susulan," katanya.

Susulan pembunuhan Jong-nam, polis Malaysia menahan empat suspek - seorang wanita menggunakan pasport Vietnam, seorang wanita warga Indonesia, seorang lelaki rakyat Malaysia dan seorang lelaki warga Korea Utara.

Lelaki warga Malaysia itu dibebaskan dengan jaminan polis.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS