Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Tiada permohonan soal siasat warga kami’
Diterbitkan:  Feb 24, 2017 3:52 PM
Dikemaskini: 7:55 AM

Kedutaan Korea Utara mendakwa masih belum menerima permintaan daripada polis Malaysia untuk menemubual setiausaha kedua kedutaan itu dan seorang kakitangan Air Koryo berhubung pembunuhan Kim Jong-nam.

Pada sidang akhbar di kedutaan itu di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, hari ini, konsular Kim Yu Song merujuk kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Ketua Polis Malaysia memberitahu media bahawa polis telah mengemukakan dokumen untuk mendapatkan kerjasama kedutaan untuk menemubual setiausaha kedua kami (dan seorang lagi warga Korea Utara).

"Bagaimanapun sehingga hari ini, kami belum menerima sebarang dokumen yang berkaitan daripada pihak polis atau Kementerian Luar Malaysia," katanya.

Kim juga mengkritik laporan media Korea Selatan yang mendakwa pihak kedutaan itu telah menerima permohonan berkenaan.

"Ini adalah satu pembohongan, kami membantahnya dan mahu laporan itu dipinda," katanya.

Semalam, Khalid berkata polis telah mengemukakan permohonan rasmi untuk menemubual diplomat, bersama seorang lagi warga Korea Utara.

"Jika kamu tidak cuba sembunyikan sesuatu, usahlah takut," katanya ketika ditanya kemungkinan bahawa Korea Utara tidak akan memberi bekerjasama dalam siasatan itu.

Beliau berkata, polis yakin maklumat daripada kedua-dua suspek amat penting dalam menyelesaikan kes berkenaan.

Sebelum ini, ketua polis itu enggan mengesahkan jika diplomat berkenaan adalah suspek dalam siasatan kes pembunuhan tersebut.

Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, diserang ketika berada di Kuala Lumpur International Airport 2 (KLIA2) sementara menunggu untuk menaiki penerbangan ke Macau pada 13 Februari lalu.

Bapa kepada tiga orang anak yang berusia 45 tahun itu meninggal dunia dalam ambulans semasa dalam perjalanan ke hospital.

Awal hari ini, polis mengesahkan penyerang Jong-nam melumurkan muka si mati dengan racun agen saraf VX.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS