‘Lawatan Raja Arab lenyapkan isu derma RM2.6b Najib’

   

Lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Salman Abdul Aziz Al Saud ke Malaysia secara tidak langsung melenyapkan segala tuduhan pembangkang terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu sumbangan RM2.6 bilion yang berada dalam akaun bank peribadinya.

“Dulu ada seorang pemimpin kata, Arab gila pun takkan nak bagi dana sebanyak itu. Tetapi kehadiran Raja Salman hari ini cukup untuk membuktikan bahawa Datuk Seri Najib berkata benar, bahawa RM 2.6 bilion itu sememang adalah dana derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.

“Saya yakin pemberian tersebut diberikan berdasarkan atas pencapaian dan usaha Najib memartabatkan Islam di negara ini dan juga secara global, kata seorang pensyarah, Prof Madya Hanafiah Harun yang dipetik portal Umno Online.

Menurut pensyarah UiTM itu, jika benar Najib menggunakan atau memfitnah keluarga diraja Arab Saudi untuk menutup kesalahannya, sudah pasti Raja Salman tidak akan menjejakkan kakinya ke Malaysia.

Keluarga diraja Arab Saudi, katanya, juga tidak akan berdiam diri dengan dakwaan itu sekiranya ia tidak benar dan akan bertindak untuk membersihkan nama mereka.

“Jadi jelaslah di sini bahawa segala isu yang timbul berhubung isu dana RM2.6 bilion itu adalah semata-mata rekaan dan fitnah pihak luar yang disambut dan sebar luaskan oleh pihak pembangkang di negara ini semata-mata untuk menjatuhkan kredibiliti Najib sebagai pemimpin negara,” katanya.

Hanafiah berkata, pembangkang terus memainkan isu itu walaupun perdana menteri berulang kali menjelaskannya.

“Saya kira pembangkang kini sudah ketandusan modal. Sebab itu mereka jadikan tohmahan dan fitnah sebagai senjata mereka untuk menyerang Najib, biarpun ia sudah berkali-kali dinafikan dan termasuklah kenyataan Menteri Luar kerajaan Arab Saudi sebagai bukti kebenaran kata-kata Datuk Seri Najib.

“Dan hari ini, kesudian Raja Salman memilih Malaysia sebagai negara pertama dalam rangka lawatannya sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan bahawa segala dakwaan pihak pembangkang berhubung isu dana tersebut hanyalah satu tohmahan dan fitnah yang berniat jahat semata-mata,” katanya.

Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali juga telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku, manakala perdana menteri menyalahkan pihak pembangkang yang berkomplot menggunakan dakwaan rasuah untuk menggulingkan beliau daripada kuasa.

[Baca berita penuh]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In