Korea Selatan gesa Korea Utara digantung dari PBB
Korea Selatan menggesa “usaha bersama” dijalankan untuk menghukum Korea Utara atas dakwaan penggunaan senjata kimia terlarang dalam pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin tertingginya.
Gesaan itu dibuat setelah Korea Selatan percaya pembunuhan yang berlaku di lapangan terbang KLIA2 di Sepang itu didalangi oleh Korea Utara – dakwaan yang ditepis sama sekali negara jirannya itu.
Polis Malaysia mengesahkan agen saraf VX, yang termasuk dalam senarai larangan senjata pemusnah besar-besaran Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), digunakan dalam pembunuhan itu.
Bercakap dalam persidangan disokong PBB di Geneva semalam, Menteri Luar Korea Selatan Yun Byung-se berkata pengunaan senjata kimia itu mengejutkan dan masyarakat dunia patut bertindak – termasuk meneliti kemungkinan mengosongkan kerusi Korea Utara di PBB.
“Banyak media antarabangsa membangkitkan penggunaan senjata kimia untuk sasaran pembunuhan di negara dunia ketiga telah menghantar mesej jelas kepada dunia,” Yun dilapor sbagai berkata oleh Reuters.
Yun juga mendakwa “rejim ganas itu bersedia dan sanggup menyerang sesiapa sahaja, pada bila-bila masa dan di mana-mana saja”.
VX antara senjata pembunuh paling bahaya pernah dicipta.
Ia jauh lebih berbahaya berbanding gas sarin yang digunakan dalam serangan kimia di Syria pada 2013 dan serangan di Tokyo pada 1995.
“Hanya beberapa gram VX sahaja diperlukan untuk pembunuhan besar-besaran,” kata Yun yang mendakwa laporan menyebut Korea Utara memiliki bertan-tan senjata kimia.
Jong-nam adalah abang sulung Jong-un dan pernah disebut-sebut sebagai calon presiden Korea Utara bagi menggantikan bapa mereka Kim Jong-ill sebelum ini.
Hubungan Jong-nam dan Jong-un bagaimana kemudian renggang dan Jong-nam kemudian mendapatkan pelindungan Beijing.

