PAS Wilayah Persekutuan dan NS buat aduan BPR terhadap Isa
PAS Wilayah Persekutuan (WP) dan Negeri Sembilan (NS) hari ini membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menyiasat kes rasuah politik yang membabitkan Tan Sri Mohd Isa Samad dalam pemilihan Umno tahun lalu.
PAS Wilayah Persekutuan (WP) dan Negeri Sembilan (NS) hari ini membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menyiasat kes rasuah politik yang membabitkan Tan Sri Mohd Isa Samad dalam pemilihan Umno tahun lalu.
Pesuruhjaya PAS WP, Mohamad Noor Mohamad membuat laporan kepada pegawai BPR bertugas, Sabaruddim Baki di pejabat BPR Wilayah Persekutuan jam 10 pagi tadi.
Manakala Pesuruhjaya PAS NS, Dr Rosli Yaakob membuat laporan tersebut di pejabat BPR di Seremban juga pagi tadi.
Menurut Mohamad Noor, walaupun kes rasuah Isa hanya di dalam Umno sahaja, tetapi perbuatannya boleh menjejaskan integriti dan reputasi kerajaan.
Manakala Dr Rosli, ketika dihubungi berkata, selain melepaskan jawatan Menteri Wilayah Persekutuan, Isa juga perlu mengosongkan kerusi Parlimen Jempol bagi memberi peluang kepada rakyat untuk memilih pemimpin baru.
"Saya rasa orang Jempol tidak mahu diketuai oleh pemimpin yang telah didapati rasuah politik," katanya lagi.
Selepas itu, Mohamad Noor mengetuai kira-kira 50 ahli PAS (foto) mengadakan tunjuk perasaan aman berhampiran bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sambil menggesa supaya Isa meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
Dalam ucapannya, beliau menggesa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawai supaya memecat Isa daripada kabinetnya, bagi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
"Ia bukan sahaja mencemarkan nama baik Umno tetapi juga orang Islam keseluruhannya," katanya.
'Khianati amanah'
Mohamad Nor juga berkata, Isa telah mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat kepadanya dalam pilihanraya umum yang lalu.
Sementara itu, wakil mahasiswa, Ramadhan Fitri Elias dalam ucapannya berkata, mahasiswa perlu bangkit menentang rasuah daripada terus berakar umbi dalam negara ini.
Katanya, jika rasuah dibiarkan berleluasa, institusi ekonomi akan punah dan seterusnya menyebabkan keruntuhan sesebuah negara.
"Isa perlu letak jawatan secara sukarela sebagai sikap bertanggungjawab beliau terhadap kesalahan yang beliau telah lakukan," katanya.
Beliau berkata, Isa perlu menjaga maruah rakyat terutama pengundi Parlimen Jempol yang memilih beliau dalam pilihanraya umum lalu.

