Kes SIS cabar fatwa kembali ke mahkamah tinggi
Mahkamah Rayuan hari ini mengembalikan kes saman Sisters In Islam (SIS) terhadap fatwa yang mengatakan pertubuhan itu menyeleweng dari Islam ke mahkamah tinggi.
Peguam SIS, Surendra Ananth, berkata kes itu dikembalikan ke mahkamah berkenaan untuk membolehkan hakim baru mendengar meritnya.
"Mahkamah Rayuan sekarang menyerahkan hal ini ke mahkamah tinggi semula untuk didengar meritnya di depan hakim lain," katanya kepada media selepas hakim membuat keputusan mengenainya di Putrajaya.
Sebelum ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan SIS untuk mencabar kesahihan fatwa berkenaan.
Menurut hakim, kes itu terletak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.
SIS kemudian mengemukakan rayuan bagi penolakan itu ke mahkamah rayuan.
Kata Surendra kes berkenaan melibatkan kepatuhan fatwa itu mengikut perlembagaan.
Justeru katanya ia terletak di bawah bidang kuasa mahkamah sivil.

