Jogho Kelate - dari Umno kepada BERSATU
Kamarudin Mohd Kasim atau lebih dikenali sebagai Jogho Kelate, memohon maaf kepada seluruh rakyat negeri kelahiran Cik Siti Wan Kembang itu kerana bersama Umno pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah peneraju Gerakan Tukar Kerajaan PAS Kelantan Demi Rakyat (Tukar) dan mantan setiausaha penerangan Umno Kelantan selain mengetuai pasukan media maya dan teknologi maklumat (IT) Umno negeri berkenaan.
"Setelah meninggalkan Umno, saya memohon maaf kepada seluruh rakyat Kelantan di atas tindakan saya mahu meruntuhkan kerajaan Islam pada PRU13.
"Sekarang saya menghambakan diri untuk bersama kepimpinan kerajaan negeri bagi mengekalkan Kelantan di bawah PAS. Saya sekarang juga Setiausaha Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)," katanya, memetik laporan Harakah Daily.
Ditanya mengapa menyertai BERSATU, Kamarudin berkata, jawapan paling ringkas ialah beliau tidak mahu berkongsi dosa selagi berada dalam Umno.
"Bahkan saya merasakan ada kebenarannya. Kita melihat terlalu banyak dosa dilakukan kerajaan BN termasuk isu 1MDB, rasuah, songlap duit rakyat, GST, nilai ringgit jatuh dan banyak lagi isu yang membelenggu rakyat.
"Malangnya Umno seperti tidak menghirau apa yang dideritai rakyat," katanya lagi.
Mengenai peranan beliau semasa bersama Umno menghadapi PRU13, jelasnya, beliau memulakan gerakan Tukar pada tahun 2010.
Ia merupakan inisiatif sendiri melalui badan bukan kerajaan yang ditubuhkan, katanya.
"NGO itu ditubuh menjelang PRU13 bagi melihat sokongan rakyat terhadap Umno. Malangnya menjelang hari mengundi anak-anak muda di perantauan meranapkan gerakan yang saya bina selama tiga tahun.
"Ternyata PAS Kelantan mempunyai kekuatan akar umbi. Buatlah Tukar 2.0 sekalipun sokongan rakyat terutamanya anak muda tetap tidak berubah," ujar Kamarudin lagi.
Baru-baru ini, veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, meramalkan BN mampu menguasai Kelantan melalui pilihan raya umum akan datang.
Menurut anggota parlimen Gua Musang itu, ada beberapa faktor mengapa beliau berani berkata demikian.
Satu daripada faktor dipetik Tengku Razaleigh ialah perpecahan dialami PAS ketika ini serta kegagalan kerajaan negeri yang dikuasai parti berkenaan melakukan perubahan.
“Saya rasa BN atau Umno Kelantan tunggu masa saja. Apabila kita tiup wisel, kita boleh bergerak dan saya rasa dengan kerjasama banyak pihak, kita boleh tumbangkan kerajaan negeri sedia ada ini," katanya lagi, memetik Utusan Online.

