Kesilapan teknikal punca usul asal Hadi di Peraturan Mesyuarat
Kesilapan teknikal adalah sebab di sebalik versi tanpa pindaan rang undang-undang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang muncul dalam Peraturan Mesyuarat Parlimen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau yang bertanggungjawab menyelia hal-ehwal Parlimen, berkata kesilapan itu akan diperbetulkan dengan pihak Parlimen menggantikan usul berkenaan dengan usul baru sebagaimana dipinda oleh Abdul Hadi pada November lalu.
“Saya telah menerima surat daripada Setiausaha Dewan Rakyat (Datuk Rosmee Hamzah) bertarikh 2 Mac 2017 di mana beliau telah memohon maaf (berhubung kesilapan itu).
“Beliau menjelaskan bahawa ini adalah satu kesilapan teknikal yang tidak disengajakan oleh Bahagian Pengurusan Dewan Rakyat dan pihak Parlimen akan menggantikan usul itu dengan usul baru,” kata Azalina dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, dilaporkan bahawa versi asal usul Abdul Hadi bagi membentangkan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355) dicetak dalam Peraturan Mesyuarat Parlimen, tanpa sebarang pindaan.
Ini adalah versi yang mana Abdul Hadi berusaha untuk mengeluarkan had maksimum bagi hukuman kesalahan syariah, kecuali hukuman mati.
Namun Presiden PAS itu pada November lalu mencadangkan pindaan usul itu dengan menaikkan had hukuman penjara kepada 30 tahun, denda hingga RM100,000 dan maksimun 100 kali sebatan.
Hukuman syariah buat masa ini adalah hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda hingga RM5,000 dan maksimun enam kali sebatan.
Rang undang-undang Hadi itu dipinda pada sesi Parlimen lalu selepas mesyuarat bersama dengan anggita parlimen BN yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Kerajaan merancang untuk mengambil alih rang undang-undang itu selepas bacaan kedua.

