Seorang lagi pemimpin kanan PAS menolak cadangan debat antara Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin dengan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua penerangannya Nasrudin Hassan berkata tiada kewajaran untuk langkah itu, dengan memetik pandangan Pengarah Jabatan Penerangan PAS Amzad Hashim.

“Sebaliknya apa yang wajar dan perlu ialah dianjurkan muzakarah yang melibatkan semua para mufti bersama YB Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang memandangkan isu ini sangat penting.

“Dan para mufti selayaknya mengangkat satu keputusan yang muktamad dari muzakarah tersebut ke arah meninggikan syariat Allah SWT di bumi bertuah ini,” kata Nasrudin.

Idea debat itu bermula apabila Asri menolak debat dengan Datuk Khairuddin Aman Razali berkaitan pindaan Akta Mahkamah Syariah, selepas ketua penerangan Dewan Ulama PAS itu mahu “menyekeh” kepalanya jika berkata usaha itu tidak wajib.

Khairuddin juga berkata beliau sedia berdebat dengan sesiapa sahaja berkaitan cadangan pindaan akta yang juga dikenali sebagai Akta 355.

Asri bagaimanapun bersedia berdepan dengan Hadi – pemimpin tertinggi parti itu yang membawa usul untuk melipatgandakan hukuman maksimum Mahkamah Syariah kepada 100 sebatan, 30 tahun penjara dan denda RM100,000.

Khairuddin pula, melalui wakil peribadinya semalam mahu berdepan dengan Asri terlebih dahulu sebelum pensyarah fikah dan usul fiqh Dr Rozaimi Ramle, yang mula-mula menyahut cabaran Khairuddin.

Dalam kenyataannya semalam, Nasrudin berkata isu pindaan akta itu selayaknya dibahas secara ilmiah, jujur dan tenang.

Para cendekiawan Islam juga, pesannya, mestilah memandunya dengan pendekatan yang terbaik.

“Semoga hasilnya memulangkan manfaat yang besar kepada proses memperkasakan syariat di Malaysia, bukan meretakbelahkan umat Islam dengan pelbagai kekeliruan dan akhirnya menjadi fitnah kepada Islam dan umatnya,” katanya.

Bimbang cara 'ajaib' PAS

Sementara itu, pentadbir Facebook rasmi Asri pula malam tadi menyuarakan kebimbangan terhadap strategi dan cara PAS yang disifatkannya sebagai “ajaib”.

Beliau mengingatkan bahawa Khairuddin yang memulakan perdebatan hangat selepas mencabar untuk berdebat dengan sesiapa sahaja yang tidak sependapat dengannya.

Khairuddin juga, kata pentadbir itu, mahu menyekeh kepala Asri jika menyatakan pindaan itu tidak wajib.

“Timbul isu Audi Q7, kismis jampi mahal dan lain-lain. Pihak Dr MAZA (Asri) tidak pernah ulas sama sekali isu ini,” kata pentadbir itu.

Bagaimanapun, katanya, selepas Rozaimi menyambut cabaran Khairuddin, surat persetujuan dihantar dan Sinar Harian pula bersedia menjadi penganjur, Asri tidak mengeluarkan sepatah kata pun.

“Jawapan Dr MAZA ketika ditanya, beliau sudi jika panel debat itu ialah Presiden PAS YB DS Abdul Hadi Awang.

“Respon PAS kepada Dr MAZA; mengapa sombong dan suka hendak berdebat. Mengapa tidak mencari jalan penyelesaian yang baik. Mengapa tidak berbincang tertutup. Sikap mahu berdebat itu takabur.

“Ajaibnya cara PAS. Tidakkah PAS yang mulakan cadangan berdebat?” kata pentadbir yang tidak menyatakan namanya itu.

Asri menolak sikap kafir mengafir, memaki hamun atau melemparkan pelbagai gelaran kepada pihak yang tidak sependapat dengan cadangan pindaan PAS. Beliau juga berkata bercakap soal keutamaan lain berbanding pindaan akta itu, seperti menyelesaikan masalah ekonomi umat Islam.