Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Kit Siang buat kenyataan paling dungu’
Diterbitkan:  Mar 3, 2017 3:42 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Tindakan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud yang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu ‘derma RM2.6 bilion’ sepanjang lawatannya ke negara ini, minggu ini telah dieksploitasi oleh kedua-dua pihak - baik pembangkang, mahupun pengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Penyokong perdana menteri berhujah bahawa raja itu tidak akan menjejakkan kaki ke negara ini dan sudah pastinya meminta Najib menarik balik kenyataannya jika isu ‘derma’ Arab berkenaan adalah satu penipuan.

Rabu lalu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, sikap berdiam diri Raja Salman sepanjang lawatannya ke negara ini adalah tamparan hebat terhadap integriti Najib.

Menurutnya, tindakan berdiam diri raja Saudi itu adalah difahami, kerana kredibiliti Arab Saudi terpaksa dipertaruhkan kecuali mereka boleh membuktikan bahawa dakwaan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) berhubung ‘derma RM2.6 bilion’ adalah tidak benar.

Walau bagaimanapun, Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo menyifatkan kata-kata Lim itu adalah kenyataan paling dungu yang pernah didengarnya daripada mulut pemimpin DAP itu.

Menurut beliau, Lim terdesak kerana kehadiran Raja Salman secara tidak langsung mematikan isu derma RM2.6 bilion yang didakwa pembangkang diambil daripada dana 1MDB.

“Saya kira ini adalah kenyataan paling dungu yang saya pernah dengar daripada mulut Kit Siang.

“Apakah dia sangka, apakah Raja Salman sebodoh pembangkang mahu bercerita tentang dana peribadi mereka secara terbuka yang diberikan untuk pemimpin Islam di seluruh negara bertujuan untuk membangun dan memperkukuhkan kedudukan Islam?

“Lagipun, isu derma RM 2.6 bilion ini sebenarnya sudah pun lama selesai sebaik sahaja Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al Jubier memberikan kenyataan yang membenarkan kata-kata Najib,” katanya yang dipetik Umno Online.

Sehubungan itu, pemimpin Umno berkenaan berkata, tidak ada kepentingan bagi Raja Salman membuat ulasan atau memberi kenyataan secara terbuka tentang isu derma itu kerana ia telah lama selesai.

Menurutnya, banyak lagi perkara yang lebih penting untuk dibincang dan diumumkan terutama dalam bab hubungan dua hala serta pelaburan Arab Saudi di Malaysia.

Ismail berkata bukan sahaja raja Arab itu melawat Malaysia, tetapi baginda juga bersetuju untuk melabur RM37 bilion dalam projek Rapid di Pengerang, Johor.

“Bahkan beliau (Raja Salman) juga bersetuju untuk menambah kuota haji Malaysia sebanyak 30 ribu jemaah dan turut mengumumkan akan bekerjasama dalam beberapa bidang, termasuklah dalam bidang pendidikan dengan memberikan biasiswa.

“Jadi inilah yang pembangkang takutkan. Mereka telah berusaha keras selama ini cuba mempengaruhi pemikiran rakyat bahawa dana sebanyak RM2.6 bilion itu diambil daripada dana 1MDB, tetapi kehadiran Raja Salman ini telah menghancurkan segala perancangan fitnah dan tohmahan mereka.

“Sebab itulah mereka agak kelam kabut sehingga Kit Siang boleh keluarkan kenyataan sebodoh itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS