Rakyat Sabah juga mahukan lebuhraya, Najib bidas Dr M
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membidas bekas perdana menteri yang memimpin negara selama 22 tahun kerana hanya membina lebuh raya di Semenanjung sahaja.
Bidasan tersebut dipercayai ditujukan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Orang Sabah pun mahu merasa lebuh raya. Betul tidak? Tak kan orang Semenanjung sahaja merasa lebuh raya.
"Dan, hakikatnya, hari ini adalah sejarah bagi negeri Sabah kerana kilometer pertama Lebuhraya Pan Borneo untuk negeri ini bermula dari Sindumin," katanya, memetik laporan Bernama.
Najib berkata demikian semasa berucap merasmikan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di Sindumin, hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusuf dan timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Kata Najib, beliau memberi jaminan jaringan Lebuhraya Pan Borneo tanpa tol di Sabah itu akan setanding dengan lebuhraya negara maju apabila ia siap kelak.
Menurutnya, perkara itu akan dipastikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang meletakkan standard tinggi.
"Ini bukan jalan balak atau jalan kampung. Ini adalah lebuh raya berkelas dunia. Ini adalah komitmen saya sebagai perdana menteri, Lebuhraya Pan Borneo ini adalah hadiah kerajaan kepada rakyat Sabah," jelasnya.
Najib juga berazam untuk memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah menjadi satu gambaran sejarah kerana ia bakal mengubah landskap pembangunan dan jaringan perhubungan di seluruh negeri ini.
"Dalam masa lima tahun lagi, Sabah akan dapat rangkaian lebuh raya tanpa tol yang lengkap dengan (kos keseluruhan) perbelanjaan lebih RM16 bilion. Ini adalah sumbangan daripada kerajaan pusat.
"Saya nak beritahu bahawa ini belum selesai. Sekiranya keadaan (kewangan) mengizinkan, kita akan tambah lagi peruntukan pembangunan lebuh raya untuk Sabah.
"Kita mahu negeri Sabah berubah kerana Sabah mempunyai potensi besar," katanya.
Pada masa sama, tambah Najib, projek Lebuhraya Pan Borneo itu dianggarkan mampu mewujudkan 400,000 peluang pekerjaan untuk rakyat di Sabah dan Sarawak berikutan pembangunan yang dibawa selain peluang perniagaan serta
peluang bagi kontraktor tempatan.
"Saya juga menetapkan hanya kontraktor tempatan melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo. Walaupun ada usaha sama daripada kontraktor luar, namun kerja utama mesti diberikan kepada anak tempatan," katanya.

