Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kerajaan terbuka untuk menerima cadangan sekiranya waris ingin membuat carian sendiri terhadap mangsa pesawat MH370.

Bagaimanapun, Liow berkata, beliau berharap agar mana-mana waris dapat memberikan cadangan terlebih dahulu mengenai perkara berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan.

"Kita menerima bantuan daripada sesiapa sahaja. Semua orang mempunyai cara masing-masing untuk mencari MH370.

"Saya juga telah mengadakan perbincangan dan dialog yang baik bersama waris, dan kami mempunyai pelbagai interaksi dan mereka (waris) telah bangkitkan satu cadangan dan ia cadangan yang bagus kepada kita dan kita akan mempertimbangkannya," katanya.

Liow berkata demikian selepas menghadiri Hari Memperingati MH370 di ibu negara, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita yang bertanya tentang usaha keluarga waris mangsa penerbangan berkenaan yang ingin membiayai sendiri pencarian MH370.

Sementara itu, jurucakap bagi waris-waris mangsa MH370 (Voice 370), Grace Subathirai Nathan berkata, pihaknya merancang untuk mengumpul dana sebanyak AS$15 juta untuk membuat pencarian sendiri pesawat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan mula mencari dana berkenaan sekiranya pihak kerajaan tidak lagi menyambung pencarian pesawat MH370.

"Kami telah berbincang dengan beberapa pakar, salah satunya adalah David Gallow individu yang jumpa Air France. Kami telah bercakap dengan ATSB (Biro Pengangkutan dan Keselamatan Australia) dan mereka kata akan menyokong kami.

"Kami tidak akan mencari dana pembiayaan sehingga semuanya selesai, sehingga semuanya telah disahkan. Kami merancang untuk kumpul dana sebanyak AS$15 juta.

"Tetapi kami juga telah diberitahu oleh orang-orang yang kami jumpa bahawa orang pertama yang mereka akan jumpa ialah mereka yang berada dalam industri penerbangan.

"(Bagaimanapun) kami berharap agar pencarian akan diteruskan oleh pihak kerajaan," katanya.