Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini menangkis dakwaan bahawa pencarian MH370 ditangguhkan adalah disebabkan masalah dana.

Menurut Liow, pencarian pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) itu ditangguhkan kerana kerajaan yang terlibat dalam misi mencari MH370 ingin mendapatkan lebih banyak data tertentu sebelum meneruskan dengan misi menyelamat.

Malah, menurutnya lagi, pasukan penyiasat kini sedang menunggu lebih banyak data bagi mengecilkan lagi lokasi pencarian yang mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk menemui serpihan pesawat.

"Mereka (pihak pakar) mahu lebih banyak kajian untuk melihat imej satelit dan bentuk serpihan. Tunggu pihak pakar beri kita lebih banyak data.

"Pada masa ini, carian ditangguhkan, carian masih lagi belum selesai kerana kita menunggu pihak pakar untuk memberi lebih data yang boleh dipercayai.

"Kita tidak boleh mencari di kawasan yang kita tidak pasti.

"Dana bukan isunya (carian ditangguhkan), tetapi kita kena lebih pasti. Kita mahukan lebih bukti yang kukuh sebelum membuat carian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri Hari Mengingati MH370 di Publika di ibu negara.

Januari lalu, kerajaan Malaysia, China dan Australia bersetuju menangguhkan carian pesawat Malaysia Airlines MH370 sehingga petunjuk baru ditemui.

Ini berikutan keputusan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC) yang berkata pelbagai usaha menggunakan teknologi dan kemudahan sains telah dibuat namun masih belum menemui pesawat berkenaan.

Pada 8 Mac 2014, pesawat yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang itu hilang dari radar ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing.