Rela putus hubungan dengan Pyongyang
Datuk Seri Najib Razak berkata beliau akan melakukan apa saja demi mempertahankan imej dan kedaulatan negara.
Malah menurut laporan media, perdana menteri dipetik sebagai berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk memutuskan hubungan dengan Pyongyang.
Laporan Sin Chew Daily menyebut, Najib berkata demikian bagi mengulas keadaan semasa berhubung isu kematian Kim Jong-nam semasa bertemu anggota parlimen BN di kediaman rasmi beliau di Putrajaya semalam.
Jong-nam yang juga abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, mati dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.
Pembunuhan itu mencetuskan perbalahan diplomatik antara kedua-dua negara apabila pegawai Korea Utara memberikan beberapa kenyataan bersifat tuduhan.
Perkembangan itu turut menyaksikan Putrajaya memberi tempoh 48 jam - berakhir petang ini - kepada Duta Korea Utara, Kang Chol, supaya meninggalkan Malaysia.
Memetik sumber, Sin Chew Daily melaporkan, Najib ada menyentuh tentang tuduhan Kang Chol ke atas Malaysia kerana ia menyebabkan imej negara terjejas dengan teruk.
Katanya, perdana menteri juga berikrar bahawa Malaysia tetap bertegas mempertahankan kedaulatan negara.

