Kerajaan Kedah digesa jangan tunduk kepada pemaju
Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mendakwa pemaju menggunakan alasan pembangunan untuk mengambil tanah, khususnya milik orang Melayu secara berleluasa terutama di Kedah.
Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mendakwa pemaju menggunakan alasan pembangunan untuk mengambil tanah, khususnya milik orang Melayu secara berleluasa terutama di Kedah.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kerajaan negeri pula tunduk kepada kemahuan pemaju semata-mata untuk mencapai status Kedah sebagai negeri maju.
Katanya, pengambilan tanah dan tapak perumahan Kampung Datuk Murad dan Kampung Tok Bidan, Alor Star tidak mendapat persetujuan penduduk tetapi pemaju Bukhary Reality Sdn Bhd menggunakan kerajaan negeri untuk mengambil tanah tersebut.
"Dari maklumat yang kami kumpul, Kerajaan Kedah menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan menggunakan alasan pembangunan menyebabkan penduduk tidak ada pilihan," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd Azmi berkata, Bukhary Reality mengambil tanah tersebut untuk membina kompleks pengajian tinggi Yayasan Bukhary yang bernilai RM250 juta.
Bagaimanapun, katanya, 113 keluarga penduduk kedua-dua kampung terbabit dibayar pampasan rendah dan mereka juga mereka tidak pasti akan mendapat tapak rumah baru di bandar Alor Star.
Sehubungan itu, katanya Teras menggesa kerajaan supaya tidak tergopoh gapah mengambil tanah selagi penduduk tidak mendapat jaminan pampasan yang setimpal dan penempatan semula untuk mereka.
Tidak wajar
"Tidak wajar kerajaan Kedah menggunakan aspek perundangan semata-mata tanpa mengambilkira keperluan dan kebajikan penduduk yang terlibat," katanya.
Teras kata Mohd Azmi lagi, juga prihatin terhadap siasatan Suhakam yang mendapati wujudnya ketidakadilan dan pelanggaran hak asasi manusia dalam proses pengambilan tanah kedua-dua kampung tersebut.
Beliau berkata, pihak berkuasa perlu melihat beberapa perkara termasuk kemungkinan wujud unsur rasuah dalam pengambilan tanah tersebut, pampasan tidak setimpal dan berbeza antara satu sama lain.
Katanya, pemaju setuju membayar RM14.70 sekaki persegi kepada penduduk kampung yang terlibat dengan pengambilan tanah tetapi akan dibayar cuma RM7.50 sedangkan harga pasaran RM20.

